Saksi kes pelajar tahfiz ditumbuk rusuk beri cerita berlainan
4 individu termasuk warden dipanggil untuk diambil keterangan dalam usaha polis menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.
Ini kerana 4 individu yang dipanggil untuk diambil keterangan, termasuk warden asrama terbabit, memberikan cerita berlainan.
“Mereka ini disoal siasat sejak semalam. Kita akan siasat bagi menentukan apa perkara sebenarnya berlaku. Ketika ini ia masih di peringkat awal,” kata Ketua Polis Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi FMT.
Shafien berkata polis akan mengadakan sidang media Jumaat ini bagi memberi penjelasan lanjut mengenai kejadian itu.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelajar tingkatan 1 di sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam mengalami kecederaan pada tulang rusuk dan lengan selepas didakwa dipukul warden asrama sekolah berkenaan minggu lalu.
Portal itu juga memuatnaik gambar mangsa menunjukkan kecederaan pada lengan.
Kejadian didakwa berlaku pada 5.00 petang 10 Mei lepas, ketika mangsa dipanggil berjumpa warden. Warden terbabit didakwa bertanyakan pelbagai soalan peribadi, namun mangsa menafikan tuduhan terhadapnya.
Akibatnya, mangsa mendakwa dirotan selain ditumbuk pada tulang rusuk hingga bengkak. Mangsa yang kesakitan menghubungi bapanya dan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Keesokan harinya mangsa dibawa ke Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam untuk membuat laporan. Menurut Shafien, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
Bapa pelajar berkenaan berkata anaknya pernah dirotan tetapi kejadian 10 Mei itu dilihat tidak sepatutnya berlaku kerana melampau. Beliau juga mendakwa warden cuba meminta maaf dan mahu menanggung kos rawatan anaknya, tetapi beliau tidak dapat menerima perbuatan itu.
Kejadian ini merupakan yang terbaharu sebulan selepas Mohamed Thaqif Amin Mohd Gaddaffi, 11, mati selepas dilaporkan cedera selepas didakwa dipukul dengan hos getah oleh pembantu warden di sebuah sekolah tahfiz di Johor.
Kaki Thaqif terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan ke tisu dan sel darah. Keesokannya harinya beliau koma.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Thaqif meninggal dunia pada 26 April.