Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kes 5 pelajar saman UM, UKM akan diputuskan 11 Julai

 | May 19, 2017

Surendra Ananth yang mewakili 4 pelajar UM itu berkata, undang-undang di negara ini hanyalah Perlembagaan Persekutuan dan universiti tidak berhak menghukum pelajar mereka.

VIDEO INSIDE
anis-suraya1

Surendra Ananth (tengah) mewakili 5 pelajar menyaman UM dan UKM.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Julai ini untuk membuat keputusan terhadap saman pemula yang difailkan 5 pelajar Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 2 institusi pengajian tinggi awam itu berhubung tindakan tatatertib dikenakan ke atas mereka kerana menyertai sebuah perhimpunan aman pada Ogos 2016.

Hakim, S Nantha Balan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam yang mewakili 4 pelajar UM dan seorang pelajar UKM itu dan pendakwa raya yang mewakili 2 universiti itu kira-kira 2 jam.

Terdahulu, Surendra Ananth yang mewakili 5 pelajar UM dan UKM itu berkata, anak guamnya tidak melakukan sebarang kesalahan kerana undang-undang membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

“Undang-undang yang ada di negara ini hanyalah Perlembagaan Persekutuan. Universiti tidak berhak menghukum mana-mana mahasiswa, lagipun perhimpunan itu dilakukan di luar universiti.

“Jika mahu lakukan sebarang pindaan, hanya Parlimen yang boleh berbuat demikian. Mereka (UM dan UKM) tidak boleh buat sebarang keputusan, hak berkumpul ini dijamin undang-undang.

“Mereka (mahasiswa UM dan UKM) juga tidak lakukan sebarang kesalahan, bahkan tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap mereka hingga ke saat ini,” katanya sewaktu berhujah di dalam mahkamah hari ini.

anis-suraya

Anis Syafiqah berikrar akan memperjuangkan kes mereka berlima dan yakin ia mampu mengubah nasib mahasiswa lain.

Aktivis siswa, Anis Syafiqah Mohd Yusof, 25, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, 24, dan Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, 23, digantung pengajian 1 semester dan denda RM400 oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UM, manakala Suhail Wan Azahar, 23, pula didenda RM400.

Asheeq Sethi Ali Sethi Alivi, mahasiswa jurusan undang-undang UKM itu pula digantung penggajian 1 semester dan denda RM200.

Mereka didapati melakukan kesalahan disiplin kerana menyertai perhimpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka, pada 27 Ogos 2016, bagi mendesak kerajaan mengenal pasti dan menahan individu dinamakan “Malaysian Official One” dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Pendakwa raya yang mewakili UM, Datuk Muhammad Adam Abdullah pula berkata, Anis dan 3 pelajar UM itu jelas menyatakan identiti mereka sebagai mahasiswa ketika menyertai perhimpunan aman itu.

Bahkan, beberapa bukti khasnya poster menunjukkan mereka turut menghasut pelajar lain untuk menyertai perhimpunan itu.

“Ada beberapa poster dalam laman sosial mengenai gerakan mereka untuk tangkap MO1 yang mengajak mahasiswa berhimpun. Berdasarkan perkara itu, jelas menunjukkan himpunan yang Anis dan rakan-rakannya lakukan adalah atas kapasiti pelajar.”

Adam turut memberi beberapa contoh menunjukkan Anis dan 3 pelajar itu cuba menceroboh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengajak mahasiswa berhimpun.

Surendra segera membalas hujah Adam dengan berkata, pihak universiti secara tidak langsung mengongkong kehidupan pelajar sejak mereka mendaftarkan diri.

“Tindakan UM seolah-olah mengawal pelajarnya 24 jam, bukan sahaja aktiviti mereka di luar kampus, tetapi turut mengawal mereka yang berada di rumah,” katanya.

Pendakwa raya, Amsa Damodaran Naidu mewakili UKM.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Anis dan 4 rakannya berikrar memperjuangkan kes itu dan yakin ia mampu mengubah nasib mahasiswa lain.

Pada 27 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman pemula difailkan 4 pelajar UM itu terhadap menteri pendidikan tinggi dan kerajaan, berhubung tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mereka kerana menyertai satu perhimpunan aman pada Ogos 2016.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Rizal Fadzil berkata, pihaknya memohon saman pemula itu dibatalkan atas alasan menteri pendidikan tinggi dan kerajaan selaku defendan ke-2 dan ke-3 tidak terlibat dalam tindakan tatatertib yang dikenakan UM terhadap 4 pelajar itu.

Mereka menuntut deklarasi Seksyen 15(3)(b) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Akta 1971) (AUKU) atau Peraturan 3 dan 13 Kaedah-kaedah UM (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, tidak mengecualikan untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata sepertimana termaktub dalam Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dituntut 1 deklarasi yang Seksyen 15(3)(b) AUKU dan Peraturan 3 dan 13 Kaedah-kaedah UM (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, bercanggah Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, selain deklarasi yang prosiding disiplin dan tatatertib dikenakan ke atas mereka menyalahi undang-undang.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments