
Nurul Kharmila Abdullah berkata beliau dan beberapa lagi ahli keluarga pelajar yang dibuli berpuas hati dengan keputusan diambil yang mempamerkan ketegasan pihak berkaitan dalam menangani gejala buli di sekolah.
“Sebagai ibu bapa, kami rasa gembira kerana MRSM dan Mara menunjukkan sikap tidak bertoleransi terhadap kegiatan buli khususnya di sekolah dan asrama.
“Keputusan ini sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada semua mangsa dan pelajar lain di MRSM selain sebagai panduan kepada pelajar yang pernah dibuli untuk bersuara dalam membasmi perbuatan buli yang sebenarnya masih berlaku,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun beliau yang merupakan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam berharap semua 10 pelajar yang ditamatkan pengajian itu diberi peluang meneruskan pelajaran di sekolah lain bagi menjamin masa depan mereka.
“Sebagai pendidik, saya berharap mereka yang terlibat dalam membuli diberi kaunseling dan peringatan secara konsisten bagi menyedarkan mereka tentang kesilapan mereka.
“Mungkin peluang yang mereka dapat di MRSM tidak digunakan sebaiknya, tetapi masih banyak peluang lagi di tempat lain sekiranya mereka membetulkan sikap mereka,” katanya.
Mengenai kejadian yang membabitkan anaknya, beliau berkata menerima panggilan daripada anak lelakinya itu kira-kira pukul 2 pagi pada 6 Mei lalu sebelum beliau berkejar ke MRSM tersebut yang terletak kira-kira 250 kilometer dari rumahnya di Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di asrama anak saya, saya dan suami terkejut melihat keadaan anak saya yang lemah dan terdapat beberapa kesan lebam dan luka di hampir seluruh badan sebelum kami menghantarnya ke Hospital Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut.
“Dia menceritakan perkara itu terjadi kerana dia enggan meminjamkan kasutnya sebelum dia dan 5 lagi rakannya dipukul oleh lebih 20 pelajar.
“Malah anak saya turut dipaksa minum air panas, direnjis air panas di beberapa bahagian badan kerana dia pura-pura pengsan bagi mengelak dari terus dipukul dan kepalanya juga diletak di bawah air pili yang terbuka menyebabkan dia hampir lemas,” katanya.
Nurul Kharmila berkata akibat kejadian itu, anak sulungnya itu mengalami trauma sehingga tidak mahu pulang ke MRSM semula bagi mengambil peperiksaan pertengahan tahun.
“Biarpun perkara ini sudah hampir selesai, mangsa buli ini mengalami trauma dan ia akan mengambil masa untuk mereka mengatasi ketakutan akibat dibuli,” katanya yang mengajar di Fakulti Sains Kesihatan.
Beliau berkata anaknya kini bukan lagi pelajar MRSM tersebut dan kini dalam proses pemindahan ke MRSM lain.
Media sebelum ini melaporkan 6 pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior kerana mangsa dikatakan enggan meminjamkan kasut bola awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah dipetik sebagai berkata kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior yang berumur 15 dan 16 tahun.
Semalam Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata 10 pelajar berkenaan ditamatkan pengajian mereka berkuat kuasa Selasa lalu selepas didapati bersalah.
Katanya keputusan itu dicapai selepas dicadangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM) dalam mesyuaratnya Isnin lepas yang turut memberi peluang kepada semua pelajar terbabit untuk membela diri.