Dikatakan ‘suka’ Umno, PAS kata kerjasama demi Islam

Dikatakan ‘suka’ Umno, PAS kata kerjasama demi Islam

Lain daripada itu terserah pada tafsiran masing-masing, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Khairuddin Aman Razali.

khairudin-umno
PETALING JAYA: Selepas dikatakan “suka” bersama Umno, PAS hari ini menegaskan kerjasama yang terjalin demi memperkasakan Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata kesudian PAS itu tidak khusus kepada Umno atau mana-mana parti.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memperkasakan Islam. Lain daripada itu terserah pada tafsiran masing-masing.

“Setiap parti ada pendirian dan prinsipnya sendiri,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini berhubung kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam.

Perdana menteri di suatu majlis berbuka puasa di Kedah semalam berkata prinsip dan perjuangan Umno ke arah kepentingan memartabatkan Islam selama ini menyebabkan PAS “suka” bersama mereka.

“Macam mana pun kita ada berbeza pendapat, kerajaan pimpinan Umno ada prinsip perjuangan dan dia (PAS) nampak perjuangan kita ke arah kepentingan memartabatkan umat Islam,” katanya.

Beliau menambah PAS terdorong ke arah Umno selepas “dibuli” DAP semasa dalam pakatan pembangkang, dan kini melihat Umno dari aspek kebajikan dan pentadbiran banyak menguntung umat.

“PAS sudah serik dengan DAP…bila PAS bersama DAP dia kena buli, sampai PAS pun angkat tangan dan lari,” katanya.

PAS kebelakangan dikatakan mesra Umno, sejak Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa agenda “Politik Matang dan Sejahtera” selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

PAS dan Umno bekerjasama dalam beberapa perkara berkaitan Islam dan masyarakatnya seperti flotila bantuan kemanusiaan untuk etnik Rohingya dan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah.

Pada pilihan raya umum akan datang, PAS dilaporkan menyasarkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor, manakala yang lain terserah kepada Umno.

Najib: PAS suka Umno kerana perjuangan martabat Islam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.