Perincian pembelian berlian DoJ membayangkan Rosmah, kata Rahman Dahlan

Perincian pembelian berlian DoJ membayangkan Rosmah, kata Rahman Dahlan

Menteri itu berkata DoJ tidak perlu menyebut pembelian itu jika tidak berhasrat merampas barangan tersebut.

rahman-doj-1
CYBERJAYA:
Datuk Seri Rahman Dahlan berkata Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat tidak perlu menyebut mengenai pembelian berlian oleh isteri “Malaysian Offician One” (MO1) jika tidak berminat merampas kembali barangan tersebut.

Rahman berkata perincian “tidak perlu” itu menggambarkan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, katanya merujuk kepada dokumen 250 halaman yang difailkan DoJ minggu lepas, yang mahu menyita aset yang dikatakan dibeli menggunakan dana yang dicuri dari 1Malaysia Development Berhad.

“Kamu (DoJ) sindir, dan kamu memberi gambaran Rosmah dan berlian itu membuat sesuatu yang salah,” katanya.

“Tetapi dalam dokumen yang kamu serahkan, kamu tak masukkan pun berlian itu sebagai salah satu harta yang hendak dirampas.

rahmandoj1
“Jadi tidak perlu letak nama dalam kenyataan itu tapi berlian itu tidak termasuk dalam senarai barangan yang akan hendak dirampas,” kata Rahman kepada pemberita di sini hari ini.

Rosmah tidak dinamakan dalam saman sitaan sivil DoJ yang difailkan Khamis lepas.

DoJ bagaimanapun menamakan ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) membeli rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta untuk “isteri MO1”.

Tahun lepas, Rahman dilaporkan berkata “jelas sekali” MO1, yang menurut DoJ merujuk kepada seorang pegawai tinggi 1MDB, adalah perdana menteri.

Ditanya hari ini sama ada beliau masih percaya Najib adalah MO1, Rahman berkata beliau sudah bercakap tentangnya “banyak kali sebelum ini” dan dengan itu “tidak perlu bercakap tentangnya lagi”.

Beliau berkata DoJ “terburu-buru” menerbitkan perincian itu meskipun siasatan sedang berjalan, dan mempersoalkan siapa di Malaysia yang bekerjasama dengan jabatan asing itu.

“Saya tertanya-tanya kerana siasatan masih berjalan, tetapi kamu keluarkan kenyataan yang flamboyan, keterluan, dan penuh dengan sindiran.

“Kamu perlu ingat, kamu bercakap tentang negara yang akan menghadapi pilihan raya, dan kamu tahu kenyataan seperti itu akan digunakan dan disalahgunakan sepenuhnya oleh pembangkang.

“Jadi saya harap DoJ akan lebih berhati-hati,” kata ahli politik Sabah itu.

Rahman menyifatkan cara DoJ menyiarkan penemuan mereka sebagai “tidak wajar”.

“Sangat angkuh, berpolitik, retorik daripada berasaskan undang-undang dan andaian seseorang itu tidak bersalah (sehingga dibuktikan bersalah).

“Lagipun kes itu belum dibawa ke mahkamah, tetapi DoJ mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada fakta kes tertentu, yang saya rasakan sangat tidak profesional.

“Adakah kerana kamu rasakan pilihan raya selepas raja? Sangat tidak bagus. Itulah yang kami katakan.”

DoJ dalam tuntutan yang difailkan di California mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak filem, yang dikatakan dibeli menggunakan dana yang salurkan dari 1MDB.

Saman itu hampir setahun selepas permohonan tahun lepas yang mahu mendapatkan kembali beberapa hartanah mewah, pesawat jet peribadi, lukisan dan dana yang digunakan dalam filem Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” yang diterbitkan syarikat diketuai anak tiri Najib, Riza Aziz.

Kedua-dua saman itu secara keseluruhannya mahu mengkehendaki aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion).

Jabatan itu mendakwa dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) milik 1MDB dilencongkan pegawai tinggi dana itu dan rakan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.