Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan

 | July 12, 2017

Bekas pengurus kekayaan bank swasta Switzerland, BSI cawangan Singapura itu akan menjalani hukuman itu serentak dengan hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan ke atasnya dalam pertuduhan lain.

Yeo-Jiawei-1

PETALING JAYA: Sebuah mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan ke atas bekas pegawai BSI di republik itu, Yeo Jiawei selepas dia mengaku melakukan kegiatan pengubahan wang, lapor akhbar Straits Times Singapura.

Ia adalah hukuman paling berat pernah dijatuhkan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di Singapura yang turut menyebabkan penutupan 2 bank asing oleh bank pusat negara itu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Yeo sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah cuba mengganggu saksi dalam siasatan Singapura yang dikaitkan dengan 1MDB, Disember lalu.

Terdahulu, Yeo, 34, mengaku bersalah dan disabitkan bersalah, masing-masing terhadap 1 dakwaan pengubahan wang haram dan menipu, dengan mengambil kira 8 pertuduhan lain.

Dia diarah menjalani hukuman penjara serentak dengan hukuman sebelumnya.

Bekas pengurus kekayaan di bank swasta Switzerland, BSI itu ialah “salah seorang suspek utama berpangkalan di Singapura” dalam skandal berkenaan, yang turut disiasat Switzerland dan Amerika Syarikat.

Dalam perbicaraan Yeo mengganggu saksi tahun lalu, pendakwa raya berkata, dia mengumpul lebih S$20 juta (RM62 juta) melalui “keuntungan rahsia” dalam tempoh 15 bulan selepas meninggalkan BSI pada Jun 2014.

Menurut Bloomberg, 5 individu, termasuk Yeo disabitkan bersalah di Singapura, satu-satunya negara yang mendakwa pegawai bank atas pertuduhan jenayah, setakat ini.

Singapura turut mengenakan penalti berjumlah S$29.1 juta ke atas 8 bank susulan siasatan berkaitan 1MDB.

Dakwaan berbilion dolar diseleweng daripada 1MDB mencetuskan skandal di Malaysia membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang mengasaskan dana itu dan 1MDB menafikan terbabit sebarang salah laku.

Singapura, hab kewangan serantau, memulakan siasatan ke atas aliran dana haram dikaitkan dengan 1MDB pada 2015 dan menutup operasi 2 bank Switzerland – BSI dan Falcon Private Bank.

Pihak berkuasa Singapura turut merampas aset bernilai hampir AS$180 juta (RM770 juta).

Separuh daripada aset itu dikaitkan dengan Low Taek Jho – lebih dikenali sebagai Jho Low – pembiaya Malaysia yang membantu menubuhkan 1MDB dan memainkan peranan utama dalam keputusannya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments