SIS cabar Kelantan tunjuk sebat di khalayak dalam Al-Quran

SIS cabar Kelantan tunjuk sebat di khalayak dalam Al-Quran

Sisters in Islam berkata, pendekatan 'menangani' tingkah laku di Kelantan itu hanya akan mewujudkan persekitaran semakin menindas.

sis_hudud_600
PETALING JAYA: Kumpulan Islam yang lantang bersuara, Sisters in Islam (SIS) hari ini mencabar kerajaan Kelantan pimpinan PAS membuktikan dakwaan hukuman menyebat pesalah syariah di khalayak ramai sebahagian daripada Islam.

SIS menyifatkan langkah terbaru itu sebagai selangkah lebih dekat kepada satu lagi bentuk hukuman “tidak bertamadun”.

“Sejauh mana kita daripada memperkenalkan hukuman tidak bertamadun lain seperti merejam?

“Sejauh mana kita membenarkan ini diteruskan sebelum kita kata ia bukan Islam, dan ini bukan apa yang kita mahu untuk saudara kita di Kelantan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata, hukuman mengaibkan yang amat dikesali itu bukan cara untuk menyelesaikan keruntuhan moral di Kelantan kerana ia hanya akan menjadikan golongan lemah dalam masyarakat sebagai mangsa.

“Kelantan menyaksikan kadar tinggi dalam pornografi, rogol dan sumbang mahram,” kata kenyataan itu merujuk laporan Google baru-baru ini berhubung sikap melayari internet di kalangan rakyat Malaysia.

“Penindasan, mengaibkan dan hukuman tidak akan meningkatkan nilai-nilai Islam. Pendekatan sedemikian untuk ‘menangani’ tingkah laku di Kelantan hanya akan mewujudkan persekitaran semakin menindas dan malangnya seperti yang kita lihat di Acheh dengan wanita dan golongan miskin terpaksa menanggungnya.”

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada penguat kuasa agama menggari suspek, selain video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, RUU itu merupakan sebahagian daripada persiapan melaksanakan RUU meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, jika diluluskan di Parlimen kelak.

“Contohnya seperti hukum sebat yang kini boleh dilaksanakan di dalam ataupun di luar penjara bergantung kepada keputusan mahkamah. Ia menepati kehendak agama (berkaitan hukuman sebat) sebab hukuman syariah itu mesti dibuat di depan khalayak,” katanya.

SIS bagaimanapun mempersoalkan pandangan berhubung hukuman itu dibenarkan Islam.

“Kami menuntut kerajaan Kelantan mendedahkan kepada kami di mana sebenarnya dalam Al-Quran yang membenarkan hukuman seperti sebat di khalayak ramai.”

Kumpulan itu ketika menggesa Putrajaya dan orang ramai tidak mengabaikan langkah terbaru itu berkata, ia adalah ancaman terhadap nilai dan aspirasi negara.

“Kerosakan akhlak dan penggunaan Islam untuk menangani isu sosial meresap dalam setiap aspek kehidupan kita dan akan memusnahkan struktur sosial dalam negara hebat yang dibina nenek moyang kita.”

April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU 355 ke Parlimen untuk meningkatkan hukuman maksimum bagi pesalah syariah, daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkenalkan hudud, hukuman yang dilaksanakan di sesetengah negara Islam termasuk merejam sampai mati dan memotong tangan.

PAS: Sebat wujud dalam Al-Quran, Zam Maidin yang kuno

Kelantan lulus rang undang-undang sebat di khalayak ramai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.