Nik Abduh beri amaran mereka yang beraksi ‘liar di bilik saya’

Nik Abduh beri amaran mereka yang beraksi ‘liar di bilik saya’

Pemimpin PAS itu terus dikritik di laman Facebook beliau selepas amarannya.

nik-abduh-fb
PETALING JAYA:
Nik Mohamad Abduh Nik Aziz semalam memberi amaran kepada mereka yang melontar komen “fitnah” di laman Facebooknya, tetapi ia masih tidak menghentikan pengguna terus memuat naik pelbagai kutukan dan kritikan terhadap ahli Parlimen Pasir Mas itu.

“Mulai sekarang, bagi mengelak ‘dosa kering’ berlaku di Facebook saya, saya akan menilai komentar yang ditulis. Jika ia positif sama ada pro atau kontra dalam laras bahasa yang diterima akal yang sihat, maka saya terima dan ucapkan terima kasih dan selamat menulis, menyokong dan mengkritik.

“Jika sebaliknya yang dipenuhi fitnah yang nyata, kata-kata buruk, carut dan nista, saya akan sekat daripada terus menulis di sini,” kata Nik Abduh di Facebook malam tadi.

Bekas ketua pemuda PAS mengakui tindakan menyekat kebebasan menulis itu “tidak popular”, tetapi berkata ia kerana ramai hanya berminat memberikan komentar yang buruk berbanding positif.

“Bahkan ada yang memperbodohkan diri sendiri sehingga saya sukar memikirkan betapa teruknya tahap anak bangsa berfikir,” katanya.

Menurut Nik Abduh, walaupun selepas 10 tahun menulis, beliau “gagal membantu memulihkan mereka”, sebaliknya “bertambah liarlah mereka beraksi di bilik saya ini”.

Bagaimanapun, beberapa komen sindiran membidas Nik Abduh terus dimuat naik setakat pagi ini.

“Saya pun bimbang disoal oleh Allah, mengapa saya tidak menegur pemimpin yang secara berterusan membiarkan kerajaan zalim memerintah,” tulis Amirul Azhan.

“Hampir 10 tahun menulis.. satu pun xleh pakai.. sedih,” kata seorang lagi pengguna, Hafizuddin Ab Rahman-Abu Haziq.

Nik Abduh kerap dikritik pemimpin pembangkang kerana beberapa kenyataan yang mempertahankan dasar pimpinan PAS yang dilihat semakin mesra dengan Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.