Jamal Yunos, ‘Wan Azizah’ naik MRT untuk ke Penjara Sungai Buloh
Ia selepas pembukaan laluan ke-2 MRT dikaitkan dengan Anwar Ibrahim dan keluarganya.
“Tq PM kerana menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh,” menurut kenyataan tertera di “mock up” itu.
Susulan perasmian fasa ke-2 laluan MRT Kajang-Sungai Buloh Isnin lalu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah Anwar, secara berseloroh memuat naik ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana memendekkan perjalanan menziarahi ayahnya di Penjara Sungai Buloh.
Nurul dipercayai menjawab kiriman Twitter Datuk Seri Najib Razak sehari sebelumnya.
“Bermula esok, perjalanan untuk melawat kenalan di Sungai Buloh dari Kajang akan menjadi lebih mudah dan selesa! #JomNaikMRT,” katanya.
Wan Azizah merupakan Adun Kajang, manakala Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh.
Jamal, yang juga ketua Umno Sungai Besar, hari ini tiba Stesen MRT Kajang kira-kira jam 10.45 pagi, lengkap berbaju Melayu. Beliau dan penyokongnya sampai di Stesen Sungai Buloh sejam kemudian.
“Jom kita pergi melawat suami tercinta di rumah Sungai Buloh ye,” kata salah seorang penyokong.
Dalam sidang media di perkarangan Stesen Sungai Buloh, Jamal berkata, tindakan beliau hari ini bertujuan mendesak pembangkang berhenti mengkritik usaha kerajaan meningkatkan kualiti pengangkutan awam untuk kemudahan rakyat.
“Kami hairan melihat politik pihak sebelah sana dari Pakatan Harapan, apa yang kerajaan buat sebegini baik dan indah untuk kegunaan rakyat, mereka cuba menidakkan dan menfitnah kerajaan dengan pelbagai tohmahan.
“MRT benda yang baik ada di depan kita pun mereka fitnah, malah mereka lebih percaya lagi fitnah seperti DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).”
Jamal turut mempelawa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menaiki MRT bersama beliau untuk menikmati sendiri kemudahan disediakan kerajaan dan tidak memfitnah kerajaan secara berterusan.
“Saya juga rasa kesal dengan Rafizi dan saya sediakan tiket pergi balik dari Kajang ke Sungai Buloh. Sampai di Sungai Boloh, bolehlah pergi melawat bos beliau dan merasai bagaimana canggihnya sistem MRT ini, satu gerabak saya boleh belanja.”
Pada masa sama, Jamal menyindir Wan Azizah dengan mempelawanya menaiki MRT ke Sungai Buloh untuk melawat suaminya, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, pengguna MRT terkejut melihat gelagat Jamal membawa “mock up” Wan Azizah menaiki MRT.
“Saya terkejut melihat gelagat Jamal bawa gambar Wan Azizah, tindakan beliau amat pelik dan melucukan,” kata Abdul Rahim kepada FMT sambil terseyum.
Bagi Nurul Farhana pula, beliau menyifatkan gelagat Jamal sebagai unik dan memuji beliau kreatif serta pandai manarik perhatian masyarakat sekeliling.
MRT Kajang-Sungai Buloh jadi bahan ‘troll’ Azizah dan Anwar
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram