
Bekas perdana menteri itu berkata, 1MDB sudah diambil alih kerajaan, maka kerajaan yang perlu membayar hutang kira-kira RM2.58 bilion itu.
“Bila kita hutang, kita perlu ada rancangan untuk bayar. Duit yang dihutang bukan untuk belanja hangus. Tentu ada rancangan untuk melabur, dapat keuntungan yang boleh diguna untuk bayar hutang dalam satu jangka masa tertentu.
“Jika diguna untuk membeli apa-apa, apa yang dibeli akan menjadi aset pegangan peminjam. Aset boleh dijual dan hasil boleh diguna untuk bayar hutang. Taklah semua. Hutang yang perlu dibayar pada 31 Julai hanya separuh sahaja. Lagi separuh boleh dibayar pada Disember,” tulisnya di blog beliau hari ini.
Kelmarin, 1MDB dilaporkan berkata, ia sudah memaklumkan secara bertulis kepada IPIC mengenai pembayaran dijadualkan pada 31 Julai lalu, akan dibuat pada bulan ini kerana masih menunggu dana sewajarnya.
1MDB berkata, semua bayaran kepada IPIC akan menggunakan hasil dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.
Laporan sebelum ini menyatakan 1MDB diberi tambahan 5 hari bekerja untuk menyelesaikan pembayaran itu, yang merupakan sebahagian penyelesaian membabitkan pertikaian hutang berjumlah AS$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion).
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM berkata, orang Melayu tidak bodoh kerana mereka sudah sedar wang yang hilang ialah dana rakyat dan hutang kerajaan perlu dibayar rakyat serta anak cucu mereka.
“Hutang yang tidak dibayar oleh Najib akan dipikul rakyat, termasuk orang Melayu. Maka akan dinaikkan cukai GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan lain-lain.
“Jika hutang negara tidak dibayar, negara akan jadi muflis. Maka negara tidak dapat hutang lagi. Tabung kerajaan akan merosot. Bukan sahaja dana untuk pembangunan akan kurang, dana untuk operasi juga akan terhakis. Akan merosot berterusanlah ekonomi negara.”
Sehubungan itu, beliau ingin tahu ke mana perginya wang yang dipinjam itu, walaupun Bank Negara Malaysia sudah mengeluarkan bon RM2.5 bilion.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, 1MDB akan menguruskan pembayaran kepada IPIC. Pembayaran yang dijadualkan pada 31 Julai lalu diuruskan lembaga pengarah 1MDB.
“Biarlah mereka selesaikan masalah ini, ia adalah soal syarikat. Jika mereka kata mereka akan mampu membayarnya, biarlah kita tunggu mereka bayar,” katanya semalam.
Tarikh akhir berlalu tanpa bayaran 1MDB kepada IPIC, kata sumber