Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Buli: 15 pelajar kolej vokasional direman

 | August 9, 2017

Kesemua pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh selepas dipercayai terlibat membuli 3 pelajar tahun 1 dan 2 di kolej berkenaan dalam 3 kejadian dengan yang terkini pagi semalam.

buli-junior

KUALA TERENGGANU: Seramai 15 pelajar sebuah kolej vokasional di sini ditahan reman 4 hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan tiga pelajar di kolej tersebut.

Perintah itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu Roszita Md Saad di sini hari ini.

Kesemua pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh selepas dipercayai terlibat membuli 3 pelajar tahun 1 dan 2 di kolej berkenaan dalam 3 kejadian dengan yang terkini pagi semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam, 2 pelajar tahun 1 yang berusia 16 tahun, mendakwa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah dipukul oleh beberapa pelajar senior dengan seorang daripada mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada keengganan kedua-dua mangsa mengikut arahan pelajar senior.

Satu lagi kes membabitkan pelajar tahun 2 berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul oleh kumpulan pelajar yang sama ketika berada di surau pada 9.30 malam sebelum dipukul sekali lagi di asrama kolej kira-kira sejam kemudian dalam kejadian Isnin lalu.

Akibat kejadian, mangsa turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata kolej terbabit telah diberi tempoh 10 hari untuk melakukan siasatan dalaman dan menyerahkan laporan terperinci mengenai kejadian kepadanya.

“Tiga hari diberikan untuk laporan pertengahan dan 7 bagi bagi laporan penuh… laporan yang dibuat itu akan mengikut prosedur operasi standard. Kita bagaimanapun menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama,di sini.

Selain itu, beliau turut meminta pihak sekolah supaya lebih proaktif dan cakna dengan mengambil tindakan pantas terhadap insiden yang berlaku.

“Jangan tunggu kejadian ditular baru hendak ambil tindakan selanjutnya… pihak sekolah juga perlu bekerjasama dengan pihak polis bersabit kejadian itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang melahirkan kekesalan kerana insiden semalam adalah kali ke-3 berlaku di kolej berkenaan untuk tahun ini sahaja.

Beliau yang ditemui selepas melawat kesemua mangsa terbabit di HSNZ, berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan kolej terbabit mengambil tindakan yang sewajarnya agar kes buli tidak terus berulang.

Selain itu A. Latif berkata sepanjang tahun ini sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 16 kes buli melibatkan fizikal membabitkan 45 pelajar di seluruh negeri.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments