Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Malaysia Airlines digesa bawa pemimpin PAS naik ‘kelab malam terbang’

 | August 9, 2017

Pengusaha industri pelancongan mengulas gesaan Riduan Mohd Nor supaya Putrajaya bertegas mengharamkan terus arak dalam semua penerbangan Malaysia Airlines.

Tan-Kok-Liang

PETALING JAYA: Pengusaha industri pelancongan menggesa Malaysia Airlines menawarkan tiket percuma kepada seorang pemimpin PAS yang baru-baru ini meluahkan rasa bimbang kapal terbang boleh bertukar menjadi kelab malam sekiranya arak tidak diharamkan.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata ia akan membolehkan pemimpin PAS pusat, Riduan Mohd Nor melihat sendiri sama ada perbandingan yang dibuatnya itu berasas.

Isnin lalu, Riduan menggesa kerajaan bertegas mengharamkan Malaysia Airlines daripada menghidang arak kepada penumpang.

“Larangan minuman beralkohol dalam pesawat adalah satu pendidikan kepada pelanggan bahawa pesawat bukanlah sebuah pusat hiburan atau kelab malam tempat untuk pelanggan melakukan apa sahaja yang dikehendaki,” kata ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Ia selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan tidak akan menghalang sekiranya syarikat penerbangan sendiri memutuskan pengharaman sedemikian.

Presiden Matta, Tan Kok Liang berkata sejak Januari tahun lalu, Malaysia Airlines sudah pun mengharamkan alkohol untuk penerbangan lebih singkat daripada 3 jam.

“Untuk penerbangan jarak jauh, Malaysia Airlines mempunyai pelanggan meliputi profil lebih luas dan bagi menampung kumpulan ini, minuman beralkohol akan terus ditawarkan kepada mereka yang mahukannya,” kata Tan.

Tan berkata amalan itu tidak perlu campur tangan pihak berkuasa, “jauh sekali daripada sebuah parti politik”.

“Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan kebangsaan, ia berurusan dengan dunia, bukan untuk memuaskan hati sekelompok minoriti,” tambahnya.

Tan berkata tidak timbul perbandingan kapal terbang bertukar menjadi kelab malam di mana penumpang bebas berbuat apa sahaja.

“Mereka yang menguruskan syarikat penerbangan adalah profesional dan meletakkan keselamatan mengatasi segala-galanya. Penumpang yang menjadi ancaman akan diberkas dan diambil tindakan undang-undang, tidak kira mereka di bawah pengaruh dadah, alkohol atau mempunyai masalah mental,” katanya.

Tan berkata sudah tiba masanya Riduan ditawarkan tiket percuma untuk melihat sendiri sama ada kapal terbang bertukar menjadi kelab malam.

Tan turut menawarkan khidmat percuma daripada pihak Matta untuk menguruskan perjalanan Riduan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS menggesa arak diharamkan di semua penerbangan Malaysia Airlines susulan beberapa insiden dikaitkan dengan penumpang mabuk.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini berkata Putrajaya perlu mencontohi beberapa negara Timur Tengah yang mengharamkan arak ketika penerbangan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments