2 anggota polis Sabah ditahan SPRM

2 anggota polis Sabah ditahan SPRM

Pengadu mendakwa 2 suspek itu meminta rasuah berjumlah RM2,500 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pengadu atas pemilikan dadah jenis syabu.

polis-sprm
KOTA KINABALU: Dua anggota polis yang disyaki menerima rasuah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koperal dan lans koperal yang masing-masing berumur 39 serta 32 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang antara 12.10 tengah hari hingga 12.40 tengah hari semalam.

Menurut sumber, 2 anggota polis itu ditahan SPRM ekoran aduan diterima agensi itu pada 14 Ogos lalu.

Pengadu mendakwa 2 suspek itu meminta rasuah berjumlah RM2,500 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pengadu atas pemilikan dadah jenis syabu, kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, pengadu menyerahkan RM500 kepada suspek pada 7 Ogos lalu dan RM300 lagi dimasukkan ke akaun bank salah seorang suspek itu keesokannya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Sabli mengesahkan penahanan 2 anggota polis berkenaan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 22 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.