Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Khairy dipuji tindakan tangkas isu bendera Indonesia terbalik

 | August 21, 2017

Cetakan bendera secara terbalik adalah perkara kecil dan tidak akan merosakkan hubungan antara kedua-dua negara, kata penganalisis hubungan luar.

Sivamurugan-Pandian-3

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tangkas bertindak dalam menangani isu kesilapan mencetak bendera Indonesia secara terbalik, kata penganalisis politik.

Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata tindakan Khairy mengambil langkah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Imam Nahrawi dan minta maaf atas kejadian tersebut harus dipuji.

“Dia juga cepat bertindak balas dan tidak memesongkan isu itu. Ini akan mengelak sebarang kritikan terhadapnya,” kata Sivamurugan ketika diminta mengulas sama ada kesilapan itu akan menjejaskan kedudukan Khairy dalam arena politik tempatan.

Penganalisis hubungan luar Dr Oh Ei Sun berpendapat cetakan bendera secara terbalik adalah perkara kecil dan tidak akan merosakkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Terlepas pandang perkara seperti ini biasa berlaku. Pokoknya, kita jangan biarkan mereka membesar-besarkan perkara ini, apatah lagi selepas reaksi serta-merta daripada Khairy dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

“Saya benar-benar tidak melihat apa-apa kesan jangka panjang,” katanya.

Mengenai sama ada isu tersebut akan menjejaskan kedudukan Khairy, beliau mengulangi ulasannya bahawa episod itu adalah “perkara kecil”.

Khairy menghentikan pengedaran buku khas cenderahati KL2017 di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan mengarahkan salinan baharu dicetak dengan pembetulan dilakukan.

Dalam buku cenderahati itu, bendera Indonesia dicetak terbalik di mana jalur putih berada di atas dan jalur merah di bahagian bawah menyerupai bendera Poland.

Presiden Indonesia, Joko Widodo juga meminta semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu itu dan berkata kesalahan itu amat dikesali namun rakyatnya diminta tidak bersikap berlebihan berhubung isu itu.

Presiden Indonesia: ‘Tidak usah besarkan isu bendera dicetak terbalik’

Khairy: ‘Cetak bendera terbalik kesilapan sangat besar’


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments