
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata melihat hubungan antara Umno-PAS ini tidak perlu ‘diungkap dengan kata-kata’ kerana rakyat sendiri boleh menilai.
“Saya rasa apa yang dilaporkan menunjukkan pendekatan PAS dengan Umno begitu lunak.
Lihatlah liputan media arus perdana seperti Utusan, TV1, TV3 menggambarkan mereka.
“Kadang-kadang tak perlu bercakap pun kita nampak. Saya rasa dari segi politik, saya tidak nafikan keakraban PAS-Umno dalam macam-macam.
“Itu 1 penafian standard mana-mana parti. Tetapi rakyat akan melihat benar atau tidak melalui gelagat-gelagat kita. Apa yang berlaku. Mereka (PAS) tidak lagi menjadikan Umno sebagai seteru mereka,” katanya kepada FMT.
Semalam, Straits Times melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak “berhubung hampir setiap hari selama beberapa bulan” untuk membincangkan rancangan menjalin kerjasama politik bagi menawan Selangor.
Najib juga didakwa kerap menghubungi Hadi, termasuk ketika ahli Parlimen Marang itu sedang berehat selepas beliau menjalani pembedahan jantung pada Mei lalu.
Menurut laporan itu, 1 daripada perancangan mereka ialah PAS bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor bagi mengurangkan undi Melayu kepada PH.
Bagaimanapun, pimpinan PAS antaranya naib presidennya, Datuk Iskandar A. Samad menyifatkan laporan media kononnya PAS akan bekerjasama dengan Umno untuk menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai tuduhan “tidak masuk akal” dan usaha mahu memburukkan imej parti itu.
Iskandar menegaskan laporan tersebut hanya spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.
Katanya, dakwaan itu kemungkinan 1 konspirasi antarabangsa untuk menyerang PAS dari dalam dan luar negara sepertimana dakwaan Sarawak Report sebelum ini.
Seorang lagi naib presiden PAS, Idris Ahmad ketika dihubungi berkata dakwaan dibawa laporan itu 1 pembohongan.
Dalam pada itu, Salahuddin tidak terkejut dengan tindakan PAS Selangor yang mengumumkan mereka pada pilihan raya umum ke-14 akan bertanding di Kajang dan Bukit Antarabangsa, yang masing-masing Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali meskipun PKR sedang berusaha memujuk PAS.
“Saya tidak terkejut, malahan kita tahu (PAS) menjadi alat Umno untuk menumpaskan PH.
“Saya rasa (Tindakan PAS) melakukan tindakan bunuh diri,dengan niat memecahkan undi untu memenangkan BN untuk ditempat-tempat tertentu,” katanya.
Laporan kerjasama Umno-PAS tawan Selangor konspirasi antarabangsa, kata Iskandar