Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dicabar Rizal, Rafizi dedah dana Invoke hasil jualan baju, sumbangan

 | September 21, 2017

Rafizi berkata Invoke mengutip dana melalui perkhidmatan dan barangan seperti jualan tiket majlis makan malam, kemeja T, beg, buku, butang dan pelekat kereta.

rafizi-invoke

PETALING JAYA: Pengasas badan penyelidikan Invoke Malaysia, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan badan itu selepas dicabar Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor semalam.

Rafizi pada sidang media hari ini memberitahu sebahagian besar operasi Invoke dibiaya dana hasil jualan perkhidmatan dan barangan.

“Sebahagian besar sumber kewangan Invoke diperolehi dari orang ramai,” katanya.

Menurut Rafizi, Invoke memperoleh dana melalui usaha seperti jualan tiket majlis makan malam untuk ribuan, ratusan atau puluhan peserta “yang dibuat sepanjang masa di seluruh negara”; jualan barangan kempen seperti kemeja T, beg, buku, butang dan pelekat kereta; dan langganan perkhidmatan atas talian atau “crowdfunding”.

Beliau menyahut cabaran Rizal semalam yang mahu naib presiden PKR itu mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan dana Invoke Malaysia, bagi menjawab beberapa persoalan yang menurut Rizal “belum terjawab”.

Rizal mahu Rafizi menjawab 5 soalan berkaitan aliran wang sebanyak RM2.7 juta, iaitu butiran derma RM857,000 oleh orang ramai, termasuk penderma dan waktu dan lokasi derma dilakukan; butiran kutipan RM1.063 juta hasil langgaran perkhidmatan atas talian, termasuk sukarelawan dan bilangan pelanggan; bukti Rafizi melaburkan duit ASB dan Tabung Haji ke dalam Invoke; kos sewa pejabat Invoke dan sama ada Invoke beroperasi dari pejabat PKR bahagian; bukti 80 kakitangan sepenuh masa Invoke menerima gaji dan caruman mereka.

Jumlah sebenar lebih tinggi

Menjawab pertanyaan mengenai butiran derma, Rafizi berkata dalam seramai 7,435 orang menjawab rayuan sumbangan beliau dalam masa sesingkat 10 hari, dengan sumbangan mencecah RM1,585,014.49.

“Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka,” kata Rafizi, dan menambah 84% daripada jumlah sumbangan antara RM10 hingga RM200.

Mengenai kutipan langganan perkhidmatan atas talian, Rafizi berkata jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

“Setakat hari ini sejak beroperasi setahun lalu, jumlah perolehan mengikut kategori adalah: Jualan tiket majlis pendanaan – RM929,280.26, jualan barangan – RM540,802.18, jualan perkhidmatan padanan sukarelawan – RM1,479,394.63 dan jualan langganan makalah – RM16,285.12. Jumlah perolehan adalah RM2,968,902.19 sehingga hari ini.

“Saya sertakan rekod transaksi jualan perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan bagi bulan Mei 2017 berjumlah RM180,650.61 yang mengambil 15 mukasurat. Jumlah yang disumbang bagi setiap sukarelawan adalah berbeza dan telah pun ditolak GST,” katanya.

Mengenai modal Invoke pula, Rafizi berkata sejumlah RM530,000 dikeluarkan dari simpangan Tabung Haji dan RM100,000 darii simpanan ASB, yang akan disalurkan ke akaun Invoke dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Secara keseluruhannya, setakat ini saya telah memindahkan RM755,500 sebagai modal Invoke. Dari jumlah tersebut, RM255,601 telah digunakan sebagai langganan saham-saham Invoke. Baki sebanyak RM499,899 masih lagi kekal sebagai dana yang didahulukan oleh saya kepada Invoke,” katanya.

Pernah pinjam wang rakan

Sementara itu, menyentuh gaji kakitangannya, Rafizi berkata purata gaji kakitangan Invoke dalam lingkungan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Semua caruman KWSP dan Perkeso dibayar melalui syarikat KEIP Resources Sdn Bhd.

“Gaji mereka adalah dalam lingkungan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Jumlah kakitangan yang gajinya melebihi RM3,000 sebulan tidak lebih dari 20 orang pada sesuatu masa dan gaji tertinggi adalah RM4,200 sebulan,” kata Rafizi, dan menambah kakitangan Invoke menandatangani kontrak perjawatan dengan syarikat itu dan mereka membekalkan sumber manusia kepada Invoke mengikut keperluan dari semasa ke seamsa.

Rafizi turut memaklumkan pernah meminjam dana RM100,000 dari seorang rakan untuk membayar gaji kakitangan kerana keuntungan jualan tidak mencukupi untuk membayar gaji kakitangan di awal tahun 2017.

Menjawab soalan tentang kos sewaan pejabat Invoke seluruh negara, Rafizi berkata jumlah sewa bulanan semua pejabat Invoke di luar Kuala Lumpur mencecah RM12,146 sebulan manakala jumlah sewa bulanan pejabat Invoke di Kuala Lumpur mencecah RM11,300 sebulan.

Rafizi berharap penjelasan itu akan membuktikan pengurusanInvoke dijalankan secara telus. “Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.”

“Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Datuk Seri Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya,” katanya sambil memaklumkan akan membuat pertanyaan balas kepada Rizal untuk disampaikan kepada Najib dan Rosmah dalam masa terdekat.

Pegawai khas PM cabar Rafizi dedah aliran wang Invoke


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments