Peniaga Mara Digital Mall keluh jualan turun 60%, sewa akan naik 5%
Seorang peniaga di Mara Digital Mall Kuala Lumpur, Zabedah Ismail yang bimbang dengan kenaikan sewa 5% pada November ini akan berpindah ke lokasi lain, jika keuntungannya dalam 2 hingga 3 bulan lagi tidak memberangsangkan.
KUALA LUMPUR: Beberapa peniaga Mara Digital Mall di ibu negara mengeluh kadar sewa akan dinaikkan 5% November ini ketika jualan mereka semakin merosot berbanding tahun pertama pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu beroperasi.
Peniaga di Mara Digital Mall Kuala Lumpur, Zabedah Ismail berkata, jualan tahun ini merosot sebanyak 60% berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan tahun pertama pembukaan Mara Digital Mall pada Disember 2015, di mana beliau “tidak menang tangan” dengan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Tahun pertama tak menang tangan, memang ramai. Orang dari Brunei pun datang beli telefon bimbit dengan kami, (termasuk) Kelantan, Terengganu…semua datang sokong.
“Tapi, saya tak tahu selepas setahun jadi menurun sebab apa. Tahun ni memang teruk. Saya rasa (mungkin kerana) ‘marketing’ dah tak ada.”
Beliau turut merungut kadar sewa bulanannya sebanyak RM3,500 yang akan dinaikkan sebanyak 5% pada November ini.
“Kami kena redha. Memang membebankan naik 5%, tapi kami akan cuba 2, 3 bulan lagi. Kalau keuntungan tidak memberangsangkan, kami akan keluar dari sini.”
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Andy juga sependapat jualannya semakin menurun pada tahun ke-2 operasi.
“Kebelakangan ini (perniagaan) perlahan. Bagi saya, punca pertama sebab pemasaran tak ada. Bagi saya, ramai lagi orang tak mengetahui (Mara Digital Mall). Kalau orang tahu, Insya Allah ramai.
“Masa permulaan Mara Digital ini dibuka, (promosi) dibuat di televisyen, surat khabar…jualan memang dahsyat. Sehari saya boleh jual 25 buah (komputer riba yang) mencecah lebih RM20,000 sehari. Tapi sehingga itu sahaja, lepas itu tak ada lagi.”
Mengenai kenaikan sewa sebanyak 5% pada November ini, beliau berkata: “Saya bantah, tapi kita tak boleh buat apa-apa. Kita kena akur sebab itu hak dia (pengurusan). Kalau nak compare sewa dengan (Plaza) Low Yat, sini murah lagi. Tetapi di Low Yat, ‘crowd’ dia ramai, kena dengan sewa dia.”
Keadaan bagaimanapun berbeza di Mara Digital Anggerik Mall, Shah Alam.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 21, berpuas hati dengan kadar jualan dan keuntungan diperolehinya sehingga kini.
“Perniagaan di sini tak teruk sangat, ada untung. Saya juga ada jual telefon bimbit secara atas talian, jadi memang dapat untung. Tapi, kalau nak kira untung yang dapat daripada perniagaan di pusat beli-belah ini, ada untung,” katanya.
Semalam, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memaklumkan promosi besar-besaran bagi meningkatkan perniagaan usahawan Bumiputera di Mara Digital Mall akan dimulakan 17 Oktober ini, susulan laporan kejatuhan jualan dan jumlah pelanggan di pusat ICT itu.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dilaporkan berkata, promosi itu termasuk pengiklanan di papan tanda gergasi, institusi pendidikan Mara dan pemasangan “bunting” di sekitar Kuala Lumpur, selain pelbagai program anjuran syarikat pengeluar barangan IT akan diadakan di Mara Digital Mall, contohnya Oppo Fair dan Acer Roadshow.
Katanya, lebih sejuta pengunjung dengan lebih RM18 juta jualan dicatatkan Mara Digital Mall Kuala Lumpur tahun lalu dan setakat Ogos tahun ini, ia merekodkan 585,580 pengunjung dengan jualan melebihi RM7.6 juta.
Tingkatkan promosi Mara Digital Mall
Zabedah turut mencadangkan pembekal tunggal, WGN Scan Sdn Bhd (WGN) memasang papan tanda besar jenama IT terkenal di luar bangunan Mara Digital Mall.
“Kalau tengok kat Low Yat, ada papan tanda Samsung, sini ada Mara Digital sahaja. Sepatutnya kalau ada (papan tanda) Samsung ke, orang bawa kereta boleh nampak. Ini sekarang tak ada apa-apa,” katanya.
Andy pula mencadangkan WGN menganjurkan program IT lebih kerap untuk menarik kehadiran orang ramai ke Mara Digital Mall.
“Di Low Yat selalu buat PC Fair,” katanya.
Seorang pegawai bahagian pemasaran kreatif WGN di Mara Digital Mall Kuala Lumpur, Rizq Syahrin Muhammad Rizq Fadzlin bagaimanapun enggan mengulas keluhan peniaga Mara Digital Mall.
“Atas nasihat peguam, kami tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mara Digital Mall yang khusus untuk peniaga Bumiputera-Melayu, dilancarkan pada 8 Disember 2015 di Bangunan Mara, berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pada awalnya, ia disasarkan menjadi pesaing Plaza Low Yat, ekoran pertelingkahan yang berlaku di pusat beli-belah itu pada Julai 2015, apabila seorang pemuda didakwa mencuri telefon pintar Lenovo bernilai RM800 daripada sebuah kedai.
Mara Digital di Anggerik Mall pula dibuka pada 21 Julai 2016.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ivy Chong menyumbang kepada laporan ini.