Asyraf: BN kekal komited jadikan Malaysia negara Islam

Asyraf: BN kekal komited jadikan Malaysia negara Islam

Kata beliau, pembangunan Islam di negara ini yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk bahawa kerajaan BN tidak lari daripada tanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Asyraf-Wajdi-Dusuki_bn_islam_600
KOTA BHARU:
Pembangunan Islam di negara ini yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lari daripada tanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat malah di negara luar dapat melihat perkembangan pembangunan Islam yang berlaku dalam tempoh 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan dan perkara itu berlaku kerana kebijaksanaan pemerintahan kerajaan BN yang ditunjangi Umno.

“Usaha kerajaan dalam mendaulatkan agama dapat dilihat melalui perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya semasa menjadi panelis pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All Peringkat Negeri Kelantan di sini, malam tadi.

Turut menjadi panelis program yang dikendalikan Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator ialah Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang juga Anggota Parlimen Ketereh.

Asyraf Wajdi berkata ia juga membolehkan kerajaan memperuntukkan sejumlah kewangan untuk pembangunan Islam dan disusuli pelbagai program dan peruntukan berterusan sehingga kini.

Katanya setakat ini terdapat hampir 500 sekolah agama dan kelas-kelas aliran agama dengan 59,000 guru pendidikan Islam selain itu terdapat 3,600 guru takmir, 14,560 imam dan 32,500 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa).

“Pada tahun ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM987 juta untuk sektor pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan manakala melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperuntukan RM559 juta termasuk untuk bayaran gaji guru-guru takmir, Kafa dan imam-imam di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi membidas pembangkang yang terus mencanangkan Malaysia sebuah negara sekular dan kerajaan BN tidak mendaulat agama Islam.

Beliau berharap rakyat tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya mementingkan label atau slogan tetapi tiada tindakan yang berkesan terhadap perkembangan syiar Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.