Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ilmu saya tak lucut, kata Zamihan selepas tauliah ditarik

 | October 16, 2017

Presiden Aswaja Zamihan Mat Zin sudah menjangka Majlis Agama Islam Selangor akan menarik balik tauliahnya mengajar agama.

zamihan

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin berkata tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliahnya mengajar agama sama sekali tidak “melucutkan” ilmunya, lapor portal Watan-Online.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu juga dilaporkan berkata tindakan itu tidak meragut semangatnya selain “menegakkan akidah ahli sunnah wal jamaah”.

“Seorang pejuang kebenaran tidak perlu takut dan gentar terhadap dugaan yang berlaku,” kata Zamihan, yang menjangkakan tindakan itu.

“Ia juga tidak perlu khuatir tentang nyawanya yang akan terancam kerana dia berjuang semata-mata untuk akhirat.

“Saya selaku rakyat biasa akur dengan keputusan Tuanku kerana ia adalah hak Tuanku. Namun, tindakan itu tidak sama sekali ‘melucutkan’ ilmu dan semangat perjuangan akidah saya.”

Beliau berkata demikian selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bersetuju agar MAIS menarik balik tauliah Zamihan, susulan kontroversi ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam baru-baru ini, yang mengandungi “perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja”.

Sambil itu Zamihan mengingatkan bahawa Islam menetapkan setiap pemerintah boleh ditegur serta dinasihati.

“Akhir zaman, kemiskinan ASWJ begitu terserlah,” kata Zamihan, merujuk kepada ahli sunnah wal jamaah, yang menjadi aliran majoriti di negara ini. “Kita ketandusan pemimpin yang sanggup berjuang semata-mata kerana akidah.”

“Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah. Takutlah Allah dan ingatlah balasan akhirat. Pastu hidup kita beroleh berkat,” katanya.

Sebelum ini, Zamihan mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi layan diri di Muar menghentikan dasar “mesra Muslim” dan menganggap orang bukan Islam tidak bersih.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” kata Zamihan dalam kuliah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, pada 8 Oktober.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan, termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” katanya yang dibebaskan Sabtu lalu, selepas direman 3 hari untuk disiasat di bawah Akta Hasutan.

Sabtu lalu, Sultan Johor menyifatkan Zamihan “tin kosong” dan angkuh.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments