Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Haram gunting rambut dengan bukan Islam, ucapan ‘birthday’, kata penceramah

 | October 17, 2017

Seorang pengetua sekolah agama di Pulau Pinang mengharamkan gunting rambut di kedai bukan Islam dan ucapan hari jadi seperti 'happy birthday'.

Syahul-HamidPETALING JAYA: Belum reda isu kedai dobi Islam yang mengundang reaksi daripada pihak istana, pemerhatian di Youtube mendapati pelbagai pandangan keras mengenai soal halal haram diutarakan penceramah agama yang kerap menyampaikan kuliah di masjid.

Antaranya seorang guru sekolah tahfiz di Pulau Pinang yang mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam dan juga memberikan ucapan hari jadi.

Dalam ceramah dimuat naik di Youtube disampaikan Shahul Hamid, pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib di Bayan Lepas itu menjelaskan pendirian beliau mengenai tukang gunting rambut bukan Islam.

“Sejak saya belajar di pondok dan masuk tingkatan 1, sampailah sekarang, saya tak pernah bagi kepala saya kepada orang-orang kafir untuk pegang. Walaupun tak ada dalil dia pegang itu haram…adalah lebih baik kita cari kedai Islam sekurang-kurangnya kita bantu ekonomi orang Islam,” katanya dalam ceramah yang dimuat naik 2 tahun lalu.

Shahul, yang pernah menjadi naib juara program realiti “Pencetus Ummah” terbitan Astro,  turut berkata adalah haram untuk wanita Islam mendapatkan khidmat basuh rambut daripada bukan Islam sekalipun tukang gunting rambut itu seorang wanita.

“Walaupun orang perempuan, dia tak boleh potong di kedai orang perempuan kafir. Bukan kedai lelaki, perempuan pun tak boleh pergi suap kepala dekat orang perempuan kafir, kerana kepala rambut badan dia adalah aurat.

“Macam mana aurat perempuan di hadapan lelaki yang bukan mahram yang boleh kahwin dia, macam itu juga aurat di hadapan perempuan sama perempuan kafir,” katanya.

Shahul turut mempersendakan golongan “mak nyah” yang menjalankan perniagaan cuci rambut.

“Bunyi suara macam katak,” katanya.

Sekolah Cina

Shahul dalam satu lagi klip rakaman ceramah turut berkata adalah haram umat Islam menghantar anak mereka ke sekolah kelolaan bukan Islam melainkan “terdesak”.

“Setengah orang Pulau Pinang, dia fikir, ‘kita duduk Pulau Pinang, banyak orang berbilang kaum, kita kena ajar anak kita hantar sekolah Cina baru dia boleh hidup’… Hang paham tak betul lagu tu,” katanya.

Menurutnya, umat Islam hanya dibenarkan menghantar ke sekolah Cina sekiranya tiada sekolah lain di kawasan kejiranan mereka.

“Tapi dia balik, hang kena didik betul-betul. Pasal apa? Pasal anak-anak apek itu semua, depa tidak ikut cara hidup Islam. Entah depa kencing macam mana, depa makan macam mana, depa minum macam mana, pergaulan macam mana. Anak hang akan hidup lagu tu juga.”

Dalam ceramah yang dimuat naik bulan lalu, Shahul turut mengharamkan ucapan hari jadi seperti “Happy Birthday” atau dalam bahasa Arabnya, “Sanah Helwah” yang kerap dikongsi di media sosial.

“Dalam Whatsapp pun depa hantar ‘Sanah Helwah’. Kepala hotak hang Sanah Helwah. Itu semua Arab bodoh tak mengaji punya. Samalah dengan ‘Happy Birthday’. Doa, tak mau ‘Sanah Helwah’. Walaupun bunyi macam Arab, tapi itu untuk Arab bodoh, tak mengaji ugama.

“Itu semua jahiliah,” katanya.

Dalam ceramah itu, Shahul turut tidak bersetuju dengan ucapan “bye-bye” dan “hello” ketika menjawab telefon, dan berkata umat Islam sepatutnya memberikan ucapan “Assalamualaikum”.

Isu pandangan “ekstrem” dan memisahkan umat Islam dan bukan Islam baru-baru ini menjadi hangat selepas Sultan Johor membidas pemilik sebuah kedai dobi di Muar yang melarang pelanggan bukan Islam menggunakan perkhidmatannya atas sebab kesucian.

Pendirian itu menerima sokongan Majlis Raja-Raja, yang mengingatkan sikap pelampau atas nama agama akan menjejaskan imej Islam dan keharmonian kaum.

“Imej Islam sebagai agama yang mengalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan itu pada 10 Oktober.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments