Dakwa artikel fitnah, AG timbang saman Raja Petra

Dakwa artikel fitnah, AG timbang saman Raja Petra

Apandi berkata beliau serius untuk menyaman dan sedang berunding dengan rakan-rakan peguamnya di United Kingdom.

apandi-ali-3
PETALING JAYA:
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang mempertimbangkan untuk menyaman blogger Raja Petra Kamarudin berhubung artikel didakwa memfitnah beliau.

“Semua itu mengarut dan fitnah. Saya berhasrat untuk menyaman penulis ini,” kata beliau dipetik The Star.

“Saya serius untuk menyaman dan sedang berunding dengan rakan-rakan peguam saya di United Kingdom. Ini laporan palsu yang ditulis dengan niat jahat,” kata Apandi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel ditulis oleh Raja Petra yang bertajuk “Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1” (Khabar Angin Kencang Mengenai Peguam Negara: Bahagian 1) yang diterbitkan dalam blog Malaysia Today. Raja Petra dipercayai kini tinggal di UK.

Dalam artikel yang disiarkan kelmarin, beliau mendakwa ada pertemuan pada tahun 2015 antara para hakim kanan – yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, pengganti beliau Tun Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin – bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa mesyuarat itu membincangkan 1 plot yang didakwa melibatkan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa yang lain untuk menjatuhkan kerajaan di sebalik isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Raja Petra juga mendakwa Apandi menuntut RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan China, yang dikenal pasti sebagai “rakan perniagaan” Sultan Johor, dalam kes yang beliau telah menang.

Apandi menafikan tuduhan rasuah yang terkandung dalam artikel itu.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dilantik sebagai peguam negara pada 28 Julai 2015 berikutan penyingkiran secara mendadak Gani di pertengahan siasatan kes 1MDB dan SRC oleh pasukan petugas khas.

Pada 26 Januari tahun lepas, Apandi membersihkan Najib dari sebarang kesalahan jenayah yang berkaitan dengan kedua-dua firma itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.