
Timbalan perdana menteri itu berkata ia kerana akan ada pihak yang terguris hati.
“Saya dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti setiap calon yang dikemukakan parti komponen termasuk Parti Progresif Penduduk (MyPPP),” katanya, merujuk parti berbilang bangsa yang rata-rata majoritinya kaum India.
“Kita rasakan apa yang harus dilakukan adalah menilai keputusan yang akan dibuat perdana menteri sebagai pengerusi BN.
“Sebelum sesuatu keputusan dibuat apatah lagi kerusi tertentu itu diperuntukkan sebuah parti, maka adalah lebih molek jika sebuah parti lain tak ganggu kedudukan kerusi itu.
“Kena hormat (keputusan) institusi kepimpinan,” katanya kepada wartawan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.
Sebelum ini, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerusi Cameron Highlands kekal milik MIC.
Beliau menafikan dakwaan Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas, yang berkata kerusi itu akan dikembalikan kepada partinya.
“Perdana Menteri sendiri telah memaklumkan kepada saya bahawa kerusi tersebut adalah milik MIC dan tidak akan berubah kepada parti lain,” kata Dr Subramaniam.
Semalam, Kayveas berkata akan berjumpa dengan Dr Subramaniam bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Zahid berkata semua parti perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh kepimpinan BN.
“Kita harus hormati parti-parti lain agar tidak ada parti yang terguris,” katanya.
Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, BN menang di Cameron Highlands menerusi presiden MIC ketika itu, Tan Sri G Palanivel, yang menang tipis mengalahkan calon DAP, Manogaran Marimuthu, calon Berjasa, dan 2 calon bebas lain.
Baru-baru ini, PSM turut melahirkan harapan dapat bertanding di kerusi yang diliputi kawasan peranginan dan ladang pertanian itu.