Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bilal: Nyawa mangsa banjir lebih penting daripada kecaman masyarakat

 | November 6, 2017

Antara pihak yang mempersoalkan tindakan pengurusan surau membenarkan mangsa banjir berlindung di surau itu ialah penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin.

surau

PETALING JAYA: Bilal surau Taman Free School d George Town, Pulau Pinang berkata nyawa manusia walau pun berbeza agama lebih penting baginya daripada kecaman masyarakat.

Sapno Tukijo, 50, berkata demikian selepas gambar menunjukkan sekumpulan mangsa banjir, antaranya berbaring, berseluar pendek atau tidak berbaju, berlindung di surau itu tular di media sosial, selepas Pulau Pinang dinaiki air setinggi 1m pada hujung minggu.

bilal“Saya tak kisah apa orang kata, yang penting nyawa mereka dapat diselamatkan,” kata Sapno lapor Harian Metro.

Menurut Sapno, seramai 70 orang mangsa banjir, terdiri daripada kaum Cina dan India dari perkampungan sekitar Lengkuk P Ramlee berlindung di surau itu.

“Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu namun saya rasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka yang tidak tahu ke mana arah hendak dituju,” katanya.

Antara pihak yang mempersoalkan tindakan pengurusan surau membenarkan mangsa banjir berlindung di surau itu ialah penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin di Facebook hari ini.

Beliau memulakan hujahnya dengan menawarkan pandangan dari sisi mazhab dan tokoh lain mengenai membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid.

“Situasi gambar di atas tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka. Selain itu pihak pengurusan masjid/surau juga perlu mengingatkan mereka dengan adab dan syarat bagi menjaga kesucian masjid,” kata Zamihan.

Namun menurut Sapno, pintu surau dibuka untuk mereka selepas usaha membantu mangsa banjir mencari teduh di tempat lain gagal kerana situasi banjir yang berbahaya.

Sapno sendiri cuba menyelamatkan mangsa banjir berkenaan yang ketika itu mahu menumpang di sebuah tokong yang terletak beberapa meter di seberang jalan.

“Saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di kedua-dua tiang elektrik, bagaimana usaha itu gagal kerana air deras dan naik mendadak hingga ke paras dada, dan saya sendiri mempelawa mereka menumpang di surau,” katanya.

Sapno berkata, semua mangsa pada mulanya segan untuk berteduh kerana menghormati surau sehinggalah beliau sendiri menjelaskan situasi yang mereka hadapi ketika itu.

“Mereka akhirnya akur dan menumpang di surau ini malah ada yang tidak berbaju kerana keluar sehelai sepinggang.”

Dalam masa kurang 24 jam, Pulau Pinang mencatat jumlah hujan bersamaan 1 bulan setengah, difahamkan kesan Taufan Damrey yang melanda Vietnam.

Banjir dikatakan akibat hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang, yang diburukkan dengan sampah di longkang yang menghalang kelancaran aliran air.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Setakat 6.00 petang tadi, sejumlah 6,293 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di 4 daerah di negeri  itu, meningkat berbanding 5,478 orang pada tengah hari.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini meragut 7 nyawa.

Jabatan Meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun di wilayah utara Malaysia Barat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments