
ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa maklumat perisikan yang diterima daripada Cawangan Khas Bukit Aman menunjukkan ada 2 lelaki menggelar diri mereka “James”.
“Saya minta bantuan SB menjejaki 4 lelaki yang masih berkeliaran, dan mereka memberikan nama 5 lelaki warga Korea Utara,” katanya.
Azirul menambah maklumat itu mendedahkan 4 lelaki itu ialah Honh Song Hac (menggelar dirinya Chang), 34; Ri ji Hyon (Mr Y), 33; Ri Jae Nam (Hanamori), 57; dan O Jong Gil (James), 55.
Suspek ke-5 yang juga dikatakan menggelar dirinya “James” bernama Ri Ji U, 30.
“Bagaimanapun, SB berkata tiada maklumat bila Ri Ji U masuk dan meninggalkan negara ini dalam rekod imigresen. Beliau dikenal pasti daripada telefon bimbit salah seorang tertuduh,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Iskandar Ahmad mengenai kandungan maklumat risikan itu.
Sebelum ini, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang itu memberi keterangan mengenai peranan 4 lelaki itu yang didakwa terlibat dalam kematian Jong Nam, bersama 2 tertuduh, Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam.
Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis memohon bantuan Interpol untuk menangkap Ji Hyon, Song Hac, Jong Gil dan Jae Nam.
Siti dan Doan dibicarakan atas tuduhan membunuh abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, pada 13 Februari lepas.
Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari dan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan 9.00 pagi ke Macau pada hari kejadian.
Beliau meninggal dunia di Hospital Putrajaya, mencetuskan perbalahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.
Pihak pendakwa raya dalam penghujahan mereka 2 Oktober lalu berkata mereka mahu membuktikan 2 wanita itu mendekati Jong Nam di balai berlepas dan mengenakan agen saraf VS pada muka Jong Nam.
Pendakwa Raya memberitahu mahkamah tindak tanduk Siti dan Doan menunjukkan mereka berniat menyebabkan kematian Jong Nam.
Apabila ditanya Iskandar mengenai kedudukan 4 suspek terbabit, Azirul berkata “Hanamori”, “Chang” dan “Mr Y” meninggalkan Malaysia ke Jakarta, Indonesia pada petang 13 Februari, beberapa jam selepas kejadian.
“‘James’ meninggalkan negara pada hari yang sama tetapi lewat petang,” katanya, merujuk kepada O Jong Gil. Azirul berkata beliau tidak ingat destnasi “James”.
Mahkamah hari ini juga ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup, memaparkan “Hanamori”, “Chang”, “Mr Y” dan “James” melepasi pemeriksaan imigresen di balai berlepas KLIA pada 13 Februari.
Rakaman secara jelas menunjukkan 3 lelaki itu beratur untuk menaiki penerbangan pada 12.30 petang.
“James” pula dirakamkan sebelum menaiki penerbangannya sekitar 3.00 petang.
Perbicaraan akan bersambung esok di depan Hakim Azmi Ariffin.