4 pasport Jong Nam mungkin palsu, kata penyiasat

4 pasport Jong Nam mungkin palsu, kata penyiasat

ASP Wan Azirul Nizam berkata, Jong Nam membawa 4 pasport bersamanya ketika beliau meninggal dunia.

jong-nam-pasport
SHAH ALAM: Pegawai penyiasat kes pembunuhan Kim Jong Nam memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini pasport yang ditemui pada warga Korea Utara itu semasa kematiannya mungkin palsu.

ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, ia menimbulkan keraguan apabila beliau mendapati Jong Nam membawa 4 pasport pada masa sama.

Beliau menjawab soalan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh dari Indonesia, Siti Aisyah.

Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong didakwa membunuh Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu tiba di Malaysia pada 6 Februari dan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan 9 pagi ke Macau pada hari beliau dibunuh.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Kematiannya mencetuskan ketegangan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.

Dalam kenyataan pembukaan pada 2 Oktober lalu, pihak pendakwaan berkata, mereka akan membuktikan kedua-dua wanita itu mendekati Jong Nam di balai pelepasan klia2 dan menyembur ejen saraf VX di mata dan mukanya.

Timbalan pendakwa raya memberitahu mahkamah tindakan Siti Aisyah dan Doan menunjukkan mereka berniat membunuh Jong Nam.

Azirul yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berkata, beliau dan rakannya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hanya berjaya merakam keterangan 2 warga Korea Utara, iaitu Kim Uk Il dan Hyon Kwang Song pada 23 Mac, lebih sebulan selepas kematian Jong Nam.

Uk Il adalah pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Air Koryo, manakala Kwang Song adalah Setiausaha ke-2 Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Mereka disiasat kerana dilihat bersama 3 lelaki yang masih bebas, beberapa jam selepas pembunuhan itu.

Azirul berkata, beliau mengeluarkan waran tangkap ke atas 2 lelaki terbabit, tetapi tidak dapat menyerahkannya.

Gooi: Anda bersetuju waran tangkap dikeluarkan kepada Uk Il dan Kwang Song, tetapi anda tidak dapat menyerahkannya kerana mereka bersembunyi di Kedutaan Korea Utara?

Azirul: Ya.

Pegawai itu juga tidak sedar Uk Il dan Kwang Song meninggalkan kedutaan itu dan kembali ke Pyongyang selepas keterangan mereka direkodkan.

Gooi: Adakah anda mengambil tindakan di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk mereka berdua?

Azirul: Tidak.

Perbicaraan diteruskan esok di depan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.