Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Amanah: Pusat lawan IS akan heret Malaysia dalam konflik Saudi

 | November 15, 2017

Raja Bahrin berkata, Malaysia sepatutnya kekal sebagai negara berkecuali untuk mengelakkan terbabit dalam konflik di Timur Tengah.

raja-baharin

Raja Bahrin bimbang keakraban Malaysia dan Arab Saudi akan mengundang lebih ramai musuh, termasuk militan IS.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Amanah Terengganu memberi amaran keputusan Putrajaya membenarkan pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) bakal mengheret Malaysia dalam konflik negara Timur Tengah.

Datuk Raja Bahrin Shah berkata, Malaysia sepatutnya kekal sebagai negara berkecuali untuk mengelakkan terbabit dalam konflik di Timur Tengah.

“Kenapa kita hendak berikan keistimewaan untuk (Arab Saudi) mendirikan pusat keganasan di rantau ini. Kita sudah ada agensi yang cukup (untuk memerangi keganasan).

“Kenapa kita mahu mengundang Arab Saudi yang banyak musuh dengan pihak tertentu di Timur Tengah,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

KSCIP diilhamkan susulan kunjungan Raja Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada Mac lalu sebagai usaha melawan pengaruh IS.

Kerajaan Malaysia memperuntukkan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina pusat tersebut, walaupun butiran lanjut termasuk kakitangan KSCIP belum diumumkan.

Raja Bahrin mendakwa lebih ramai militan IS akan memusuhi Malaysia disebabkan hubungannya dengan Riyadh yang berpegang kepada fahaman Wahabi.

“Kita tidak mahu penglibatan dengan Arab Saudi menyebabkan kita dimusuhi lebih ramai tentera IS. Kita tahu IS tengah berkeliaran di negara Arab.”

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zin yang diakui timbalan perdana menteri sebagai pakar memulihkan pengganas dan banduan turut membantah pembinaan KSCIP.

“Ironinya, seorang pegawai kontroversi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah katakan ia (pembinaan KSCIP) tindakan tidak cerdik.

“Seterusnya, serta-merta beliau tidak dibenarkan lagi keluarkan kenyataan, sedangkan pegawai ini ditugaskan untuk memulihkan pengganas dan ia diakui kerajaan.”

Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu dalam sebuah video selama 2 minit 27 saat yang tersebar baru-baru ini menyifatkan tindakan perdana menteri membenarkan pembinaan KSCIP sebagai “kurang cerdik”.

Zamihan dilaporkan berkata, kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi untuk melawan IS tidak realistik kerana negara itu sendiri yang melahirkan pengganas dan agensi sedia ada dalam negara mencukupi.

“Kalau Arab Saudi tidak datang ke negara kita untuk melawan keganasan juga tidak mengapa. Kita sudah ada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan institusi keselamatan lain.

“Kenapa hendak bergantung kepada Arab Saudi untuk lawan IS. Arab Saudi sendiri lahirkan IS. Mereka (Arab Saudi) sendiri tidak boleh pulihkan IS di negara mereka, bagaimana hendak pulihkan tahanan IS di negara kita,” kata Zamihan.

Minggu lalu, FMT melaporkan butiran mengenai KSCIP masih samar walaupun selepas 4 bulan ia diumumkan kerajaan.

Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).

Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi berkaitan penyebaran fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.

Krisis politik Saudi tak jejas pusat lawan keganasan di Malaysia

Pusat lawan IS di Putrajaya tunggu putera Saudi, staf dirahsiakan

Zahid pertahan Zamihan pakar pulih akidah pengganas


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments