‘Koh diculik mirip cara polis, tapi itu bukan operasi kami’

‘Koh diculik mirip cara polis, tapi itu bukan operasi kami’

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, modus operandi sama turut digunakan pihak berkuasa lain, termasuk tentera.

fadzil-ahmat_raymond-koh_new600
KUALA LUMPUR:
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengakui cara penculikan Pastor Raymond Koh sama dengan modus operandi polis, tetapi ia bukannya operasi pasukan keselamatan itu.

Beliau ketika menjawab pertanyaan peguam keluarga Koh, Datuk Jerald Gomez di depan panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Koh dan 3 yang lain berkata, modus operandi sama turut digunakan pihak berkuasa lain, termasuk tentera.

“Kita ada cara untuk masuk, keluar, buat tangkapan. Kalau nak kata sama dalam video itu memang kita ada modus operandi sebegitu, sama dari segi taktikal.

“Tapi, saya tidak kata itu adalah polis. Bagaimanapun, polis ada menjalankan operasi dengan cara itu,” katanya selepas melihat tayangan semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Siasatan awam itu memasuki hari ke-11, hari ini.

Menjawab soalan Jerald mengenai pemakaian baju tertera lencana polis ketika melakukan operasi, Fadzil berkata, bukan semua anggota polis berbuat demikian mungkin disebabkan cuaca panas.

“Polis perlu ada lencana dan memperkenalkan diri mereka. Jika tidak mereka bukan polis. Ada yang pakai baju ada lencana, ada yang tidak pakai.”

Pada 19 Oktober lalu, saksi pertama siasatan awam itu, Roeshan Celestine Gomez mendakwa seorang pegawai penyiasat dari Kelana Jaya, memaklumkan cara Koh hilang pada Februari lalu menyerupai modus operandi polis.

Pengerusi panel siasatan awam itu, Datuk Mah Weng Kwai bagaimanapun berkata, dakwaan cara Koh hilang seperti modus operandi biasa polis hanya dapat dibuktikan dengan memanggil pegawai penyiasat terbabit.

Koh, 62, diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, ketika beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman CCTV di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan 3 kenderaan menyekat kereta Koh dan 8 individu bertopeng melarikan beliau serta keretanya dari tempat kejadian pada waktu siang.

Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan itu.

Saksi mata penculikan Pastor Koh beri keterangan di Suhakam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.