
Desakan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) di Kementerian Sumber Manusia, hari ini.
“Hasil pertemuan dengan Setiausaha MPGN, T Shanmugam adalah baik dan mereka janji akan mengkaji balik gaji minimum itu.
“Mereka juga kata mungkin mengumumkan kenaikan gaji minimum itu pada Mei tahun depan.
“Dalam penyerahan memorandum hari ini, satu lagi pertemuan akan diadakan dengan bahagian teknikal MPGN dalam masa terdekat,” katanya.
Pada 2012, perdana menteri mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta ialah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam.
Melalui Perintah Gaji Minimum 2016, kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2016.
Pada 12 Oktober lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dilaporkan berkata, gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diumumkan tahun depan bagi merapatkan jurang dan menyelaras gaji minimum di sektor swasta.
Katanya, MPGN mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu, selaras perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

Sementara itu, Ketua Biro Pekerja PSM, M Sivaranjani berkata, pihaknya membangkitkan 8 perkara untuk dijadikan rujukan MPGN dalam menaikkan kadar gaji minimum.
“Antaranya produktiviti meningkat, kenaikan gaji sebenar amat marginal, gaji eksekutif pengurusan melambung tinggi, langkah mengurangkan jurang pendapatan, kenaikan gaji membantu meningkatkan permintaan agregat domestik, kos sara hidup meningkat, menaikkan gaji untuk mengurangkan hutang isu rumah rakyat dan jaminan simpanan serta sekuriti sosial.
“Semua cadangan itu dikemukakan dengan data dan kajian oleh beberapa pihak seperti Merdeka Center.
“Faktor-faktor itu perlu diambil kira kerana bebanan ditanggung rakyat berpendapatan rendah sangat membimbangkan.”