Kekerasan bukan jawapan, kata pakar psikologi, jenayah

Kekerasan bukan jawapan, kata pakar psikologi, jenayah

Terdapat pelbagai cara lain untuk menangani disiplin pelajar, ditambah pula generasi kini tidak boleh menerima cara hukuman di masa lampau.

Sundramoorthy_rotan_pelajar_sekolah_600
PETALING JAYA: Tidak kira betapa buruknya tingkah laku seorang murid, guru tidak wajar menggunakan kekerasan, kata seorang ahli psikologi dan pakar lain.

Mereka berkata terdapat banyak lagi cara lain untuk menangani murid bermasalah.

Profesor Madya P Sundramoorthy dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia berkata para guru tidak harus menggunakan kekerasan terhadap murid kecuali apabila diserang.

“Itupun guru hanya boleh menggunakan kekerasan munasabah semasa mempertahankan diri, katanya, mengulas kejadian seorang guru didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kerana menampar pelajarnya atas kesalahan disiplin.

Azizan Manap, 44, dituduh mencederakan pelajar berusia 11 tahun, yang menurut pihak Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai terlibat dalam perbuatan menghidu gam, buli dan menyerang pelajar lain dan ponteng.

Azizan dituduh menyebabkan kecederaan dengan sengaja dalam satu kejadian pada 6 April, kesalahan yang membawa hukuman sehingga 1 tahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya digugurkan pada Isnin di sebalik tekanan daripada warga guru. Azizan dilepaskan tanpa dibebaskan.

Sundramoorthy berkata beliau tidak menyokong sebarang bentuk hukuman dera.

“Guru perlu dapatkan kebenaran pengetua sebelum mengenakan hukuman rotan.”

Menurutnya, kekerasan bukan cara mendidik peajar dalam masyarakat demokratik dan sivil, dan menanam rasa takut bukan jalan betul.

“Sudah tentu, guru-guru tidak berpuas hati kerana tidak dapat mengendalikan pelajar yang tidak mudah dikawal, tetapi kita tidak boleh dengan mudah mengenakan hukuman dera kerana ia bukan penyelesaian masalah.

“Apabila anda berdepan kejadian buruk seperti itu, anda perlu berikan panduan dan kaunseling.”

Katanya ia merupakan antara sebab kaunselor terlatih amat diperlukan di sekolah.

“Ia menunjukkan kita peduli dan sanggup membimbing pelajar. Kita perlu mengenalpasti pelajar yang bermasalah dan cari sifat positif dalam diri mereka.”

Beliau menambah, generasi sekarang tidak boleh terima guru yang cuba mengenakan kekerasan terhadap mereka.

Ahli kriminologi dan psikologi, Dr Geshina Ayu Mat Saat pula berkata terdapat sekurang-kurangnya 4 alasan untuk pelaksanaan hukuman – pembalasan, pencegahan, pemulihan dan menghilangkan keupayaan.

“Kita perlu mengenal pasti kategori mana tindakan yang diambil oleh guru itu, sama ada menampar itu disebabkan oleh kemarahan atau semata-mata mahu mendidik pelajar.”

Beliau berkata impak tindakan yang diambil oleh guru akan dirasai dalam jangka pendek dan jangka panjang, bergantung kepada kesedaran tentang keadilan.

Menurutnya, pertimbangan mesti diberikan sama ada pelajar itu merasakan hukuman yang dikenakan wajar atau tidak, sama ada ibu bapa pelajar merasakan hukuman itu bersesuaian, sokongan masyarakat dan daya tahan pelajar itu sendiri.

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata tindakan yang didakwa dilakukan guru berkenaan harus dimaafkan.

“Ia sepatutnya dimaafkan jika tujuannya untuk mendidik pelajar apa yang betul dan salah dan jika ia boleh menghalangnya daripada melakukan sebarang kesilapan,” katanya.

Fauziah berkata ia berbahaya jika pelajar itu benar-benar terlibat dalam menghidu gam kerana ini terbukti menyebabkan kerosakan otak.

Beliau berkata pelajar yang terlibat dengan masalah serius disiplin mungkin akan mempengaruhi rakan sebaya lain untuk melakukan tabiat buruk itu.

Ibu murid dilempang akan saman guru, dakwa ada bukti

Mahkamah lepaskan Cikgu Azizan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.