
Lim tidak faham mengapa meminta kerajaan persekutuan menghantar bantuan tentera satu kesalahan.
“Saya kesal ada pihak tertentu masih mahu mengkritik saya kerana saya menghubungi TPM Zahid pada 3.30 pagi untuk minta tentera datang dan membantu ketika bencana banjir.
“Sesuatu yang tak masuk akal langsung. Mungkin mereka yang gila nak bersama Barisan Nasional akan buat kenyataan sebegitu.
“Kita berusaha cari jalan dan rakyat yang dapat manfaat. Sekiranya perkara ini berulang, saya tetap akan buat benda yang sama demi selamatkan rakyat,” katanya dan menambah beliau rela dikecam kerana berbuat demikian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perbandaran Seberang Prai di Bandar Perda hari ini.
Ketika ditanya siapa yang mengkritik beliau, Lim berkata “saudara tahu lah…dari biru hingga hijau”.
Lim dipercayai merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung Umno tahun lepas, di mana beliau berkata Lim hampir menangis ketika merayu bantuan banjir daripada kerajaan persekutuan.
New Straits Times juga melaporkan semalam Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff sebagai berkata Lim patut cermin parti sendiri sebelum menghina parti lain.
Fauzi menjawab kenyataan Lim yang mengatakan bekas ahli PAS, Ahli Parlimen Mahfuz Omar, membuat keputusan betul meninggalkan parti itu kerana parti Islamis itu “dari segi politik perjuangannya, politik Pas sesat. Sesat sampai dipuji oleh Umno”.
Beliau berkata Lim harus cermin diri sendiri apabila menghubungi Zahid November lepas untuk meminta bantuan ketika bencana bencana di negeri itu.
“Seingat saya, dia cuba menahan diri dari menangis semasa minta pertolongan Zahid hari itu? Bila Zahid datang, dia peluk Zahid, macam nak tunjuk betapa baik hubungannya dengan Zahid.
“Cermin diri sendiri dulu sebelum tuduh orang lain ‘sesat’. Kita tak rugi dengan pemergian Mahfuz Omar,” katanya lapor New Straits Times.