Azmin: Dakwaan PKR tak sokong Dr M untuk laga parti dalam PH

Azmin: Dakwaan PKR tak sokong Dr M untuk laga parti dalam PH

Azmin berkata, kenyataan ketua Biro Komunikasi PKR Selangor tidak bersetuju dengan pemilihan Dr Mahathir adalah suara akar umbi yang perlu didengari dan beliau akan memastikan semua pemimpin PKR negeri menyokong Dr Mahathir.

azmin-ali_mahathir_60012
KUALA LUMPUR:
PKR Selangor yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali mengakui tidak dimaklumkan mengenai kenyataan bersama PPBM, DAP dan Amanah negeri menyokong pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka.

Bagaimanapun, Azmin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menolak dakwaan PKR tidak bersama 3 parti lain menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu.

“Itu satu tuduhan yang bertujuan melaga-lagakan PKR dengan parti lain.

“Saya telah rujuk PKR Selangor, kami tidak pernah dirujuk tentang kenyataan tersebut. Jadi, tak timbul PKR tidak bersama. Tidak dirujuk, sudah tentu kami hanya tahu daripada laporan media saja,” katanya selepas merasmikan penyerahan Masjid Zakaria di Jalan Gombak hari ini.

Selasa lalu, kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim menyokong keputusan Majlis Presiden PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Bagaimanapun, sehari sebelum itu, Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad dilaporkan berkata, PKR negeri tidak bersetuju dengan pelantikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Semalam, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, Azmin juga tidak tahu mengenai kenyataan bersama menyokong keputusan Majlis Presiden PH itu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, kenyataan Hizwan adalah suara akar umbi yang perlu didengari.

“Dalam perjuangan reformasi ini perlu beri ruang kepada anggota dan rakyat beri pandangan. Ini bukan zaman rejim diktator di mana rakyat dan anggota parti tidak boleh beri pandangan.

“Maka, agenda reformasi yang sudah diperjuangkan 20 tahun ini janganlah mudah dimatikan dan pandangan ini harus diraikan, sementara saranan dibuat dalam Konvensyen PH harus dilaksanakan.”

Ketika ditanya sama ada PKR Selangor menyokong pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, Azmin berkata, beliau akan memastikan semua pemimpin PKR negeri itu menyokong cadangan berkenaan.

“Semua resolusi dan cadangan yang telah dibentangkan dalam Konvensyen PH 2018 perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan menjelang PRU.

“Ini adalah cadangan yang ditawarkan PH, maka sudah tentulah tanggungjawab pimpinan dan anggota pastikan tawaran ini diterima rakyat.

“Sekiranya tawaran ini dapat diyakinkan, saya percaya akan dapat sokongan baik pada PRU akan datang.”

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, cadangan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor tidak munasabah dan relevan kerana PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri besar Selangor itu berkata, PRN memerlukan kos tinggi dan hanya akan menimbulkan kebimbangan rakyat jika diadakan sekarang.

“Sekiranya candangan ini dibuat setahun lalu, mungkin ia boleh bincangkan. Tapi, dalam situasi penggal ini akan berakhir, jadi saya tidak nampak kewajaran nak buat pilihan raya negeri lebih awal.”

Beliau mengulas cadangan Ketua Analisa Politik dan Sosial Penang Institute, Wong Chin Huat supaya Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang PRU14 untuk menangkis kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada BN.

PKR Selangor tak maklum kenyataan bersama sokong Dr M dicalon PM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.