
Tawfik Ismail menganggap permusuhan sekarang ini terhadap Kuok, atau “Uncle Robert” bagi dirinya, kerana pengkritik terlupa atau tidak tahu akan sumbangan manusia itu kepada negara.
“Kumpulan kecil pengkritik akan terkejut dengan rasa hormat ramai rakyat Malaysia kepada ‘Uncle Robert’, seorang patriot sejati,” katanya kepada FMT.
Kuok, 94, salah seorang ahli perniagaan terkaya di Asia dan terkenal dengan jolokan “Raja Gula” di Malaysia. Bukunya, “Robert Kuok: A Memoir” dilancarkan tahun lepas.
Tawfik berkata antara sumbangan Kuok adalah mengekalkan harga gula dan tepung yang rendah untuk rakyat Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Beliau berkata sementara Kuok mendapat manfaat daripada sokongan kerajaan, kerajaan pula bergantung kepada bakat perniagaannya untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import.
“Seperti mana-mana ahli perniagaan, beliau akan memanfaatkan peluang untuk meluaskan perniagaannya, tetapi dia membawa bersama entiti-entiti kerajaan untuk memastikan perniagaan selamat serta memenuhi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB),” kata Tawfik, merujuk kepada dasar tindakan afirmatif kerajaan.
Beliau berkata Kuok mengamalkan nisbah pengambilan pekerja yang ditetapkan DEB di syarikat-syarikatnya lama sebelum syarikat-syarikat keluarga Cina lain berbuat demikian.
Tawfik berkata Kuok seorang yang sangat mempercayai meritokrasi, dan berkongsi pemikiran yang sama dengan bapanya, Ismail, perdana menteri ke-2 Tun Razak Hussein dan penggantinya, Tun Hussein Onn.
“Mereka berempat pemain golf dan memahami ‘handicap’ dalam konteks golf dan bukan satu keadaan kesihatan seperti yang ditakrifkan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tidak bermain golf dan kurang berminda sukan berbanding perdana menteri kita yang lain,” kata Tawfik, pengkritik lantang bekas perdana menteri itu.
Kuok, yang kini berpangkalan di Hong Kong, dikritik pimpinan Umno selepas penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin mendakwa beliau menyumbang wang kepada DAP serta membiayai kempen menggulingkan kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Kuok tidak akan dapat menikmati kekayaan tanpa bantuan kerajaan, sementara Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz mencabar hartawan itu kembali ke Malaysia dan berbanding pada pilihan raya umum akan datang.
Sejak itu Kuok mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra kerana membuat dakwaan palsu.
Malaysia terlebih dahulu
Menurut Tawfik, Kuok bukan seorang rasis dan mengajar semua pekerja berfikir sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu.
Beliau teringat bagaimana Kuok menawarkan pekerjaan kepadanya di Johor Bahru selepas tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Benut.
“Semasa saya berada di JB, saya melihat bagaimana dia melayan kakitangan seperti keluarga, sangat tegas dengan para pengurus dan mengajar mereka walaupun tugas mereka adalah untuk menjana keuntungan, tanggungjawab utama adalah pekerja bawahan mereka.
“Dia sangat bermurah hati dengan para pekerja termasuk yang berpangkat rendah dan di hari perayaan, akan memberi tepung, beras dan gula untuk keluarga mereka. Yang paling penting, dia mengalakkan kakitangannya berfikir sebagai rakyat Malaysia.”
Tawfik berkata Kuok hanya akan mendermakan wang kepada badan amal atau parti politik pilihannya.
“Saya tidak boleh membaca fikirannya, dia boleh tunjukkan apa yang dia suka atau tidak dengan jelas melalui pelaburannya.”
Tawfik berkata Kuok setia pada kawan-kawannya, sama ada mereka sebahagian daripada pentadbiran atau tidak.
“Ketika allahyarham Datuk Onn menentang Umno, ‘Uncle Robert’ berada dekat dengannya. Ketika Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn keluar dari Umno pada 1987, sehingga kedua-duanya meninggal dunia, ‘Uncle Robert’ kekalkan perhubungan dan menyumbang kepada mana-mana badan amal yang mereka naungi.”
Tawfik tanpa berselindung akui Kuok membantu beliau dan keluarganya selepas kematian bapanya pada 1973.
“Dia telah membantu ramai orang Melayu, dan saya secara peribadi berterima kasih kepadanya kerana membantu dan memelihara keluarga saya selepas kematian ayah pada Ogos 1973,” katanya.
Beliau berkata keputusan Razak untuk tidak menyalurkan dana kerajaan bagi membantu keluarganya “adalah perkara yang patut dilakukan”.
“Jadi apabila kerajaan meminta keluarga saya menyerahkan semua harta kerajaan dalam jagaan kami, yang pada masa itu sebuah kereta, ‘Uncle Robert’ ke depan dan memberikan ibu saya sebuah kereta.
“Dia juga membiayai pendidikan sekolah dan universiti saya dan adik-beradik saya, menasihatkan kami bahawa biasiswa kerajaan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan dan kami tidak boleh mengharapkan ganjaran daripada khidmat bapa kami.
“Saya juga tahu dia membantu anak-anak pegawai kerajaan berbangsa Melayu yang lain dengan mendidik, mengambil mereka bekerja dan melatih mereka dalam perniagaan.”