Denda dikurangkan, Tian Chua boleh bertanding PRU14

Denda dikurangkan, Tian Chua boleh bertanding PRU14

Denda ke atas ahli Parlimen Batu itu dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.

tian-chua
SHAH ALAM:
Naib Presiden PKR, Tian Chua layak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selepas ahli Parlimen Batu selama 2 penggal itu memenangi rayuannya untuk mengurangkan denda RM3,000 yang dikenakan Mahkamah Sesyen atas kesalahan menghina seorang anggota polis.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 yang membuka laluan untuk Tian Chua bertanding pada PRU14.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Tahun lepas, Tian Chua didapati bersalah menghina pegawai polis kanan, DSP Glenn A Sinappah dengan kata kesat.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pintu masuk utama Hotel Armada, pada 7.45 malam 14 April 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tian Chua turut dipenjarakan sebulan oleh Mahkamah Rayuan pada 29 September 2017. Beliau kemudiannya menarik balik rayuan terhadap sabitan itu dan hukuman penjara kerana enggan mematuhi arahan polis meninggalkan kawasan larangan ketika perhimpunan Bersih 3 pada 2012.

Beliau juga didenda RM1,800 dan dipenjara 3 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah sabitan berasingan kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dalam sebuah forum pada 2013.

Rayuan hasutan itu akan didengar 28 Jun nanti.

Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu pada 2008 dengan majoriti 9,455 undi selepas menewaskan Datuk Lim Si Pin daripada Gerakan.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013 dengan mengalahkan calon Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai menerusi majoriti lebih besar, iaitu 13,284 undi.

Tian Chua berdepan hilang kelayakan wakil rakyat selepas denda RM3,000

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2014/09/03/tian-chua-didakwa-di-bawah-akta-hasutan/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.