Kementerian benarkan ibu bapa jadi sukarelawan bantu guru dalam kelas

Kementerian benarkan ibu bapa jadi sukarelawan bantu guru dalam kelas

Sukarelawan di dalam kelas hanya berperanan untuk membantu tanpa mengambil alih tugas hakiki guru dan mereka hanya dibenarkan berada dalam kelas dengan kehadiran guru mata pelajaran pada masa ditetapkan.

sekolah-malaysia-unesco
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan membenarkan ibu bapa menjadi sukarelawan untuk membantu guru di dalam kelas dan aktiviti kokurikulum anjuran pihak sekolah, tetapi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

China Press melaporkan Kementerian Pendidikan mengeluarkan “Garis Panduan Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga dan Komuniti Sebagai Sukarelawan Di Dalam Kelas” baru-baru ini selaras Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 hingga 2025.

Akhbar itu difahamkan antara syarat ditetapkan ialah mereka perlu melepasi proses pemilihan persatuan ibu bapa dan guru, menawarkan diri secara sukarela tanpa sebarang bayaran, hanya membantu tanpa mengambil alih tugas hakiki guru dan perkongsian bahan seperti dokumen, gambar, rakaman audio dan visual perlu mendapat kebenaran guru besar terlebih dahulu.

Garis panduan itu turut menyatakan ibu bapa sukarelawan hanya dibenarkan berada dalam kelas dengan kehadiran guru mata pelajaran pada masa ditetapkan, serta memahami dan menyokong matlamat pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan Surat Pekeliling Garis Panduan Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga dan Komuniti Sebagai Sukarelawan Di Dalam Kelas bertarikh 6 Mac itu, syarat lain termasuk ibu bapa sukarelawan perlu mematuhi peraturan dan arahan pentadbir sekolah, bebas daripada isu sensitif (fahaman ekstremis, dadah, perkauman, politik dan agama) serta menghormati pengurusan sekolah.

Menurut garis panduan itu, sukarelawan di dalam kelas boleh berperanan sebagai fasilitator semasa pelajar menjalankan aktiviti, membantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pembelajaran, menyediakan bahan bantu belajar, berkongsi kemahiran, pengalaman atau maklumat untuk meningkatkan pembelajaran dalam kelas, membantu menceriakan kelas.

Garis panduan itu turut menyatakan sekolah tidak wajib melaksanakan sukarelawan di dalam kelas dan ia boleh dilaksanakan di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, termasuk pendidikan khas serta program inklusif.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.