‘Raya’ semakin dekat, Najib beri bayangan PRU

‘Raya’ semakin dekat, Najib beri bayangan PRU

Ia menyusul selepas seorang menteri berkata Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa.

Free Malaysia Today
Gambar AFP.
BERA:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi bayangan bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sudah semakin hampir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Beliau berkata akan mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) pada 7 April dan secara berkias menambah “raya” semakin dekat.

“Ini ertinya raya sudah dekat dan sudah boleh pasang pelita. Kalau di luar bandar, kita pasang pelita masa hendak raya atau malam tujuh likur,” katanya, ketika berucap pada sebuah program di Felda Kumai di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Najib memulakan ucapannya dengan menyebut nama Ismail Sabri yang juga wakil rakyat Bera, dan 2 Adun di bawahnya iaitu Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dari Guai dan Datuk Mohd Fadil Osman dari Kemayan.

“Saya sebut nama mereka supaya semua boleh memberi sokongan kepada mereka, jika mereka calon BN sekali lagi. Saya tidak sebut Triang (di bawah DAP) buat masa ini. Mungkin saya akan sebut pada masa akan datang, insya Allah,” katanya.

Najib menambah selaku perdana menteri, tidak banyak yang dimintanya daripada masyarakat Bera, melainkan memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya akan datang dan merampas semula DUN Triang.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata bahawa Dewan Rakyat berkemungkinan dibubarkan pada akhir minggu ini.

Abdul Rahman berkata Najib dijangka akan berbuat demikian sebelum pelancaran manifesto BN yang difahamkan di Putrajaya, manakala hari terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 5 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.