8 negeri bubar DUN sehingga kini

8 negeri bubar DUN sehingga kini

Sabah, Perlis, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran DUN semalam, diikuti 3 lagi negeri sehingga 6 petang tadi.

KUALA LUMPUR:
Tiga lagi negeri – Kelantan, Pahang dan Kedah hari ini membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing menyusuli pembubaran Parlimen ke-13.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), berbeza kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari sama.

Pengumuman Najib itu diikuti pengumuman sama oleh 5 negeri semalam, iaitu Sabah, Perlis, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, dan tambahan 3 lagi negeri sehingga 6 petang tadi.

Pembubaran DUN Kelantan diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, hari ini setelah dipersetujui Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra di ibu negara malam tadi.

Bagi Pahang pula, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi persetujuan untuk membubarkan DUN setelah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menghadap baginda pada 12.30 tengah hari di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Untuk Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Darul Aman dan memberi persetujuan untuk membubarkan DUN hari ini.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan menemui Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas Isnin ini untuk mendapatkan persetujuan pembubaran DUN negeri itu.

Bagi Selangor, satu istiadat pembubaran DUN akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pada 10.30 pagi Isnin, setelah dipersetujui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pembubaran DUN Perak pula akan diadakan dalam satu majlis di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 pagi Isnin ini. Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah akan menghadiri majlis itu untuk pengumuman pembubaran DUN itu.

Bagi Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijadual menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin pada pagi Rabu depan di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu untuk mendapat persetujuan bagi pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.