Hadi umum Nasrudin Hassan tanding Indera Mahkota

Hadi umum Nasrudin Hassan tanding Indera Mahkota

Percaturan PAS menyaksikan Nasrudin tidak mempertahankan Temerloh yang dimenangi pada PRU13 dengan majoriti tipis.

Free Malaysia Today
Hadi memuji Nasrudin sebagai pilihan untuk Indera Mahkota kerana kepetahan berhujah dan ilmu yang dimilikinya.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Ketua Penerangan Nasrudin Hassan akan bertanding Parlimen Indera Mahkota menghadapi calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Saya hendak umumkan calon pada 19 April ini, tetapi malam ini saya nak berikan keistimewaan kepada Parlimen Indera Mahkota,” katanya di Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Pahang di Kuantan.

“Dia ada ilmu, dia ada kelayakan, boleh bercakap, boleh berhujah, dia tidak boleh duduk senyap di Parlimen.”

Percaturan PAS menyaksikan Nasrudin tidak mempertahankan Temerloh yang dimenangi pada PRU13 dengan majoriti tipis, menewaskan pencabar, Datuk Saifuddin Abdullah dari BN, dengan perbezaan 1,070 undi. Saifuddin kini bersama PKR dan merupakan ketua sekretariat Pakatan Harapan.

Semalam, Amanah mengumumkan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir akan bertanding di Temerloh. Hadi berkata PAS akan meletakkan calon lain untuk mempertahankan Temerloh.

Pada PRU13, calon PKR, Datuk Fauzi Abdul Rahman mempertahankan kerusi Indera Mahkora dengan menewaskan 2 pencabar, Adnan Wan Mamat dari BN, dan calon bebas, Ponusamy Govindasamy, dengan majoriti 7,523 undi.

Hadi berkata rakyat akan mudah mendapatkan khidmat Nasrudin jika beliau dipiih sebagai wakil rakyat mereka memandangkan beliau menetap di Indera Mahkota.

“Sebab apa ke sini? Sebabnya rumah di sini,” katanya.

Hadi berkata senarai penuh calon PAS yang bertanding di seluruh negara akan diumumkan 19 April depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.