Hadi, tolong balik jadi ustaz, Dr M serang balik

Hadi, tolong balik jadi ustaz, Dr M serang balik

Dr Mahathir nampaknya tidak berpuas hati dengan hasil kerja presiden PAS itu semasa mentadbir Terengganu.

PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyahut kenyataan sinis Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan meminta presiden PAS itu pulang mengajar agama di kampung.

Calon perdana menteri PH itu pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini berkata Hadi perlu kembali menjadi ustaz kerana nampaknya dia tidak tahu politik.

“Apa jadi pada Terengganu?” kata Dr Mahathir, merujuk kepada pemerintahan sepenggal Hadi dari 1999-2004.

“Jangan masuk politik. Patut jadi ustaz, ajar di kampung-kampung, dia cukup layak. Bidang politik tak tahu apa pun,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada Hadi supaya mengajar “agama yang betul”.

“Jangan agama mengkafir. Kalau tak tahu, boleh rujuk Al-Quran – mengkafirkan orang Islam adalah dilarang,” kata Dr Mahathir.

Sebelum ini, beliau menuduh Hadi sebagai antara punca peristiwa di Memali, dengan merujuk sebahagian teks ucapan 1980-an yang dikenali sebagai “Amanat Hadi”.

Hadi dalam ucapan itu didakwa mengatakan PAS menentang Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

Amanat itu dituduh sebagai punca orang Melayu berpecah kepada PAS dan Umno sehingga menyebabkan tuduhan kafir-mengkafir, solat 2 imam dan pemulauan aktiviti masyarakat.

Dr Mahathir menjawab laporan semalam di mana Hadi secara sinis “menasihatkan” beliau supaya kembali menjadi doktor dan bekerja di Klinik 1Malaysia, memandangkan usianya yang lanjut.

“Patutnya dia doktor, kerja di Klinik 1Malaysia, percuma kerja di situ buat kebajikan itu patutnya. Ni suruh bertanding pilihan raya, kasihan dia,” katanya di satu acara di Pulau Pinang semalam.

Dr Mahathir kini berusia 93 tahun. Pakatan Harapan mencalonkan beliau untuk Parlimen Langkawi dan menamakannya calon perdana menteri gabungan itu, bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai timbalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.