Kelayakan Tian Chua: Mahkamah putus ia tiada bidang kuasa

Kelayakan Tian Chua: Mahkamah putus ia tiada bidang kuasa

Hakim Nordin Hassan berkata, beliau tidak dilantik sebagai hakim pilihan raya dan oleh sebab itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar aduan tersebut.

Free Malaysia Today
Tian Chua gagal mendapatkan perintah mahkamah mengenai kelayakan beliau bertanding dalam pilihan raya minggu depan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada Naib Presiden PKR, Tian Chua layak bertanding dalam pilihan raya akan datang atau sebaliknya.

Hakim Datuk Nordin Hassan yang membenarkan bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata saman pemula Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chua, adalah berkaitan dengan pertikaian pilihan raya.

“Penolakan kertas pencalonannnya adalah sebahagian daripada proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan menetapkan apa-apa pertikaian mengenai pemilihan seseorang ke Dewan Udangan Negeri dan Parlimen hendaklah dibuat melalui petisyen pilihan raya.

Nordin berkata, beliau tidak dilantik sebagai hakim pilihan raya dan oleh sebab itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

“Saya menolak saman pemula oleh pemohon ini tanpa kos,” katanya.

Isnin lepas, Tian Chua memfailkan saman pemula memohon mahkamah mengisytiarkan beliau layak bertanding dalam pilihan raya minggu depan, berdasarkan Perkara 8(1)(e) Perlembagan Persekutuan.

Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain menolak borang pencalonan Tian Chua berikutan keputusan mahkamah sebelum ini mendenda penyandang kerusi Parlimen Batu itu sebanyak RM2,000 atas kesalahan jenayah.

Dalam pendengaran semalam, peguam SPR membangkitkan bantahan awal bahawa mahkamah sivil tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Tian Chua.

Peguam kerajaan, Amarjeet Singh berkata, Tian Chua hanya dibolehkan memfailkan petisyen pilihan raya selepas pilihan raya diadakan.

Peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua berhujah bahawa anak guamnya tidak mencabar mana-mana keputusan pilihan raya, tetapi hanya memohon mahkamah menentukan status kelayakan beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.