Dr M dakwa SPR sengaja lambat keluarkan keputusan rasmi

Dr M dakwa SPR sengaja lambat keluarkan keputusan rasmi

Tindakan SPR menyebabkan keputusan yang seharusnya sudah lama diketahui rakyat dan disahkan secara rasmi tersekat.

Free Malaysia Today
Gambar Reuters
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan menandatangani keputusan rasmi pilihan raya.

Dr Mahathir berkata, tindakan SPR menyebabkan keputusan yang seharusnya sudah lama diketahui rakyat dan disahkan secara rasmi tersekat.

“Kami telah tunggu lama tetapi masih belum selesai. Nampaknya banyak kerusi sudah habis dikira, tetapi pegawai enggan tandatangani, dan keputusan rasmi tidak boleh diumumkan.

“Ini perkara serius, bukannya berita tidak benar, berita tidak benar adalah berada di pihak mereka. Kami percaya mereka ketinggalan jauh ke belakang dan tidak mampu bentuk kerajaan.

“Secara tidak rasminya kami sudah dapat 6 kerusi, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah,” katanya pada sidang media di Hotel Sheraton, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau mendapat maklumat terdapat perbincangan sulit antara pihak tertentu yang menurutnya mampu mengubah keputusan pilihan raya kali ini.

“Saya dengar ada mesyuarat, tetapi saya tidak tahu siapa berjumpa siapa. Kami hanya perlukan 112 kerusi sahaja dan kami akan menang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, SPR seharusnya bersikap telus dan mematuhi undang-undang ditetapkan tanpa mengambil kepentingan sesetengah pihak.

“Rakyat Malaysia tidak ganas, saya tidak rasa mereka bersikap ganas, apa yang rakyat mahu ketika ini adalah mahu Datuk Seri Najib Razak berundur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.