
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pengerusi BN itu gagal mentadbir dan mempertahankan kuasa yang dipegangnya.
“Pemuda Umno Kedah konsisten mempertahankan presiden sebelum ini, namun demi kelangsungan parti pada masa hadapan kita mendesak supaya Najib berjiwa besar mengosongkan jawatan beliau demi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih muda dan berupaya,” katanya.
Katanya, Umno Kedah memerlukan perubahan kepimpinan dan pendekatan.
“Umno dan BN tidak boleh berjaya jika sekadar mempunyai kepimpinan serta cara mengurus seperti yang kita ada hari ini.
“Pemuda Umno Kedah juga menggesa agar ia dilakukan dengan kadar segera. Hakikatnya akar umbi masih setia dan menunggu arahan,” katanya.
Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar pula berkata bekas perdana menteri itu perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.
“Kita perlu seorang ketua baru secepat mungkin. Apa yang berlaku membuktikan rakyat bukan tidak mahu dengan parti, bukan sebab kita tidak bekerja, tetapi kerana ketua itu sendiri.
“Kita tidak mahu ketua yang bermasalah, sehingga menjejaskan imej parti. Ramai pemimpin yang berkaliber boleh menang, tetapi mereka ‘terkorban’,” katanya memetik laporan Berita Harian.