Bekas bos SPRM lapor diri di Jabatan Peguam Negara

Bekas bos SPRM lapor diri di Jabatan Peguam Negara

Dzulkifli Ahmad melapor diri untuk kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara hari ini.

Free Malaysia Today
Jawatan yang bakal disandang Dzulkifli Ahmad di JPN masih tidak diketahui.
PUTRAJAYA:
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini melapor diri untuk kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Beliau yang bersut hitam dan bertali leher memasuki Bangunan Jabatan Peguam Negara di Presint 4, kira-kira 8.15 pagi.

Ketika keluar dari kenderaan beliau jenis Proton Perdana, beliau tersenyum dan melambaikan tangan apabila ditegur pengamal media yang menunggu di kawasan lobi.

Semalam, Dzulkifli menyerahkan surat penamatan kontrak sebagai ketua pesuruhjaya SPRM kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dzulkifli, 50, pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 secara pertukaran sementara.

Sebelum ini, Dzulkifli, yang merupakan pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai pakar perunding integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jawatan disandang Dzulkifli di Jabatan Peguam Negara sekarang masih tidak diketahui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.