Daim ingatkan PH jangan lantik Anwar jadi PM serta-merta

Daim ingatkan PH jangan lantik Anwar jadi PM serta-merta

Bekas menteri kewangan itu berkata, ia tindakan 'bodoh' untuk menukar perdana menteri sekarang kerana sebarang peralihan kuasa sepatutnya berlaku pada 'pertengahan penggal'.

Free Malaysia Today
Daim Zainuddin berkata Dr Mahathir berjaya menumbangkan BN di mana pembangkang gagal dalam cubaannya selama bertahun-tahun.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin memberi amaran terhadap pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sejurus selepas beliau kembali ke Parlimen.

Daim yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata peralihan itu sepatutnya dilakukan pada “pertengahan penggal” dan menyifatkan ia tindakan “bodoh” untuk menukar perdana menteri sekarang.

“Jika anda mungkir janji kepada rakyat, mereka tidak akan percaya anda lagi,” katanya dalam temu bual dengan akhbar Singapura, Straits Times.

Katanya, beliau menemui Anwar dan memberitahunya: “Anda semua mencuba nasib banyak kali dalam pilihan raya tetapi gagal. Sama ada anda suka atau tidak, Dr Mahathir berjaya.”

Anwar, 70, dijadualkan bebas dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun kerana berkelakuan baik. Beliau menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 2015 bagi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, yang didakwa penyokongnya bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberi pengampunan dan pembebasan serta-merta kepada Anwar yang akan dimuktamadkan esok.

Dr Mahathir sebelum ini berjanji akan kekal sebagai perdana menteri selama 2 tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, manakala isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Ahad lalu, Anwar menyuarakan sokongan PKR kepada kepimpinan Dr Mahathir susulan bantahan terhadap pelantikan 3 menteri Kabinet oleh pengerusi Pakatan Harapan (PH) tanpa wakil PKR.

Beliau turut meminta kepimpinan PKR memastikan kekuatan kerajaan persekutuan PH pimpinan Dr Mahathir dan Azizah dipertahankan.

Anwar: PKR berdiri teguh belakang Dr Mahathir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.