Kerajaan tiada hak tolak 2% gaji suami, kata MTUC

Kerajaan tiada hak tolak 2% gaji suami, kata MTUC

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, gaji suami adalah milik sendiri.

Free Malaysia Today
J Solomon menggesa kerajaan mempertimbangkan kebajikan suami yang merupakan pencari nafkah tunggal dan berpendapatan rendah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kerajaan tiada hak menolak 2% gaji suami untuk dicarumkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas nama isteri, melalui penggubalan undang-undang.

Ini kerana kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, gaji suami adalah milik sendiri.

“Tanpa izin pekerja, tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk memotong apa-apa dari gaji pekerja,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya akan menemui KWSP untuk menyerahkan pelan tindakan bagi cadangan memberi caruman KWSP kepada suri rumah.

Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, ia bertujuan merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk caruman KWSP kepada suri rumah melalui pemotongan 2% gaji suami.

“Saya akan bertemu CEO KWSP bagi membincangkan mekanisme siapa yang layak, bagaimana 2% daripada gaji suami diambil untuk isteri akan dikaji secara mendalam, sebab ia melibatkan dana kerajaan RM50 pada sesiapa layak menerima.”

Solomon menggesa kerajaan mempertimbangkan kebajikan suami yang merupakan pencari nafkah tunggal dan berpendapatan rendah.

“Kerajaan perlu mengkaji justifikasi supaya tidak membebani suami, terutamanya dengan upah semasa golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).”

Beliau turut mencadangkan kerajaan PH mengkaji caruman KWSP sebanyak RM50 untuk ibu tunggal dan suri rumah yang suami mereka tidak bekerja.

“Kami mengalu-alukan pengenalan KWSP kepada suri rumah dengan sumbangan kerajaan untuk menyediakan keselamatan dengan cara simpanan untuk masa depan mereka, yang merupakan niat mulia.

“Kerajaan juga harus memperuntukkan RM50 kepada suri rumah dengan suami yang tidak bekerja.”

Katanya, cadangan itu memerlukan banyak perbincangan kerana ada perasaan bercampur-campur.

“Oleh itu, perbincangan secara menyeluruh mengenai cadangan kerajaan di kalangan pemegang berkepentingan akan memberi manfaat kepada keputusan akhir.”

Wan Azizah jumpa KWSP penuhi janji ambil 2% gaji suami untuk suri rumah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.