
Zunar tiba di SPRM kira-kira sejam sebelum kehadiran Rosmah pada jam 10.45 pagi untuk menghadiri sesi soal siasat berkaitan transaksi RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Zunar yang memakai baju T dengan tulisan “I love Rosmah” turut membawa bersamanya senaskhah buku koleksi kartun mengenai Rosmah, “Ketawa Pink Pink”, sebagai hadiah kepadanya.
Bagaimanapun, Zunar memberitahu FMT, beliau sedih apabila dilarang memasuki premis SPRM disebabkan tiada pas media.
“Sedih, ada orang suka pada dia, dan bawa hadiah, tetapi apa nak buat, tak ada jodoh,” katanya.
Rosmah kerap dikaitkan dengan pelbagai barangan mewah dan wang tunai mencecah ratusan juta ringgit, yang dirampas di kediaman Datuk Seri Najib Razak dan beberapa premis lain dalam serbuan polis bulan lalu.
Zunar, yang sebelum ini berkata beliau merindui Rosmah yang tidak lagi muncul di khalayak awam selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya lalu, menganggap Rosmah sebagai “tokoh reformasi” sebenar.
“Bukan Anwar atau Mahathir. Kerana dialah orang buka minta. Kalau bukan pasal cincin dan Birkin, orang kampung susah faham isu rasuah,” katanya.
Ditanya apa yang akan dikatakannya kepada Rosmah sekiranya berpeluang bertemunya, Zunar berkata: “I love you.”