
Beliau berkata, kejayaan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan usaha beliau seorang sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata, sokongan kuat di akar umbi mengatasi pelbagai rintangan sehingga pemerintah sebelum ini gagal menyelamatkan diri.
“Inilah demokrasi yang bermakna, rakyat bebas memilih kerajaan jika mereka mendapati kerajaan sudah usang dan tidak sesuai, hanya dengan cara mengundi kita dapat menukar kerajaan kita.
“Kita tidak perlukan keganasan, peperangan dan permusuhan antara rakyat,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.
Sebagai pemerintah, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu sedar apabila rakyat tidak mahukan mereka lagi, maka lebih baik pemerintah mengambil berat pandangan rakyat.
“Dengan pertukaran kerajaan, sokongan luar biasa dan perpaduan semua kaum, negara akan menjadi aman dan kita dapat pulih semula negara ini dan menyelesaikan masalah hutang negara berbilion ringgit yang dilakukan pemerintah terdahulu.”
Dalam pada itu, katanya, dengan kerjasama rakyat, keselamatan dan keamanan negara, kerajaan PH akan dapat memulihkan negara supaya semua rakyat hidup tanpa tertekan dengan kezaliman kerajaan.
“Inilah hasrat kerajaan PH…mudah-mudahan kami dapat tunaikan janji-janji kami kepada rakyat.”
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilftri ini merupakan yang pertama selepas PH mencatat kemenangan pada PRU14.