Putrajaya sambut baik SPRM siasat syarikat monopoli ubat

Putrajaya sambut baik SPRM siasat syarikat monopoli ubat

Menteri kesihatan berkata, kementeriannya akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan supaya dapat memberi bekalan ubat kepada rakyat pada harga bernilai untuk wang.

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya memberi perhatian terhadap tuduhan monopoli ubat-ubatan itu dan ‘jika ada salah laku, maka SPRM akan mengambil tindakan’. (Bernama pic)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan sebuah syarikat memonopoli bekalan ubat-ubatan di negara ini, kata Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian tiada masalah (siasatan oleh SPRM)…tetapi mesti ada bukti dan bukannya tuduhan begitu sahaja,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya memberi perhatian terhadap tuduhan monopoli ubat-ubatan itu dan “jika ada salah laku, maka SPRM akan mengambil tindakan”.

Katanya, Kementerian Kesihatan mahu melakukan yang terbaik dengan tadbir urus bertanggungjawab.

“Kita kena tahu pasaran ada sentimen dan kena jaga semua pihak. Andai berlaku salah laku, pihak SPRM akan bertindak.”

Dzulkefly berkata, kementeriannya akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan supaya dapat memberi bekalan ubat kepada rakyat pada harga bernilai untuk wang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini menulis di Twitternya, meminta Dzulkefly memecahkan sebarang monopoli ubat-ubatan oleh syarikat yang dimiliki ahli politik dari pentadbiran sebelum ini.

Rabu lalu, sebuah portal membuat pendedahan mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik rapat dengan kerajaan terdahulu mengawal bekalan ubat berbilion ringgit.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli yang dimiliki syarikat itu mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan dibekalkan kepada hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Dzulkefly berkata, kehadiran 80,000 pengunjung membuktikan semangat perpaduan membara di kalangan rakyat.

Beliau yakin sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan diraikan dengan satu letupan patriotisme yang akan memberi lonjakan dalam membina semula negara, ekonomi dan memperkukuhan perpaduan.

Kementerian bayar 4 kali lebih mahal untuk ubat-ubatan?

Pendedahan mengejutkan ahli politik, kerabat dalam monopoli ubat berbilion ringgit

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.