Telefon bimbit meletup punca kematian CEO syarikat Kementerian Kewangan

Telefon bimbit meletup punca kematian CEO syarikat Kementerian Kewangan

Seorang ipar lelaki mangsa berkata, telefon itu terlampau panas ketika dicas dan meletup, mengakibatkan trauma tumpul di belakang kepala yang menyebabkan kematian Nazrin Hassan.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook
KUALA LUMPUR:
Sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas, mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Mesej keluarga Nazrin yang kini tular di media sosial, memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa di satu peringkat, telefon itu terlampau panas lalu meletup, mengakibatkan trauma tumpul di belakang kepala yang menyebabkan kematian mangsa.

“Tilam turut disambar api, namun ketika ini Nazrin sudah pun tidak bernyawa,” kata iparnya yang tidak disebut nama dalam mesej berkenaan.

“Beliau ada 2 telefon, satu Blackberry dan satu Huawei. Saya tidak tahu mana satu yang meletup. Siapa sangka prosedur rutin tidak berbahaya ini adalah penyebab 3 anak kecil membesar tanpa bapa mereka di sisi,” katanya.

Menurut polis, Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres 2 tingkat beliau di Mutiara Damansara semalam dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Mesej itu turut memuatkan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengecas telefon bimbit, termasuk mempertimbangkan zon selamat untuk berbuat demikian.

“Paling baik bukan di dalam bilik tidur. Ia jauh lebih berbaloi sungguhpun telefon berada jauh daripada jangkauan,” kata ipar Nazrin.

Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.