
Peguam Nik Zarith Nik Moustpha, yang mewakili Rafizi berkata pihaknya akan menghantar representasi itu secepat mungkin bagi memohon pertimbangan daripada AGC supaya mengkaji semula pertuduhan sekali gus menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya.
Nik Zarith memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.
Mahkamah juga menetapkan 30 Julai ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing dan 28 Ogos ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 3 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu yang bermula 4 Januari 2018.
Rafizi, yang juga bekas ahli parlimen Pandan didakwa menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, pada 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.