
Akhbar The Edge menyebut, Ladang Impian 1 Sdn Bhd (LI1SB) memegang pajakan 15 tahun ke atas tanah seluas 1.6 hektar yang pernah menempatkan pasar Pasarakyat di Kuala Lumpur.
Menurut akhbar itu, syarikat berkenaan dibayar wang tersebut bagi melepaskan pajakan 7 tahun sebelum tarikh luputnya pada 1 Januari tahun ini.
Katanya, LI1SB adalah satu unit daripada Loh & Loh Corp Bhd (LLC) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low, dikeluarkan dari bursa pada 21 Disember 2010 selepas diswastakan oleh Javace Sdn Bhd dan PetroSaudi International.
Laporan kewangan syarikat yang diaudit bagi 2011 menunjukkan ia dibayar sebanyak RM35 juta untuk melepaskan pajakan tersebut yang ditandatangani Pesuruhjanya Tanah Persekutuan, lapor The Edge.
Ia berkata, LLC memperolehi RM22.6 juta daripada pampasan pelepasan itu.
The Edge juga melaporkan pemfailan terbaru daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan LCC dimiliki oleh Selesa Produktif Sdn Bhd yang seterusnya dimiliki oleh bekas pengarah SRC International Che Abdullah @ Rashid Che Omar melalui Ring Excellence Sdn Bhd dan Collective Bridge Sdn Bhd.
SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Pasar Pasarakyat dilupuskan bagi membuka jalan kepada projek TRX.
Minggu lepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa TRX, yang terletak di atas tapak seluas 28.3 hektar dan dimulakan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan diteruskan walaupun menghadapi dakwaan salah laku kewangan.
Kerajaan berkata ia akan menyuntik sebanyak RM2.8 bilion bagi menyiapkan projek berkenaan, bertujuan menghapuskan kebimbangan pelabur tempatan dan asing yang “melaburkan berbilion ringgit” dalam projek itu.